|
PUTRAJAYA 6 Nov. — Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau tetap akan menerima Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di bawah
“Pelan Perpaduan Lebih Menyeluruh” walaupun maklum balas awal Tiong Lai menunjukkan yang beliau enggan menjadi sebahagian daripada pelan itu.
Beliau berkata, demi mencapai matlamat bersama parti, soal peribadi perlu diketepikan, dan beliau masih sanggup menerima Liow dengan tangan terbuka di bawah pelan itu.
"Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini dan perkara yang sama saya ulangi hari ini, saya masih akan terima dia,” katanya di sini hari ini.
Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan berkata, hubungan beliau dengan Tiong Lai yang merupakan Menteri Kesihatan itu cukup akrab sejak sekian lama terutama semasa mereka berada dalam pergerakan sayap Pemuda parti lagi dan mereka juga pernah bersama-sama berjuang dalam pertembungan “Team A - Team B” satu ketika dahulu ekoran keputusan kepimpinan parti untuk mengambil alih Nanyang Press Holding Berhad.
Malah menurutnya, Tiong Lai merupakan pemimpin yang mengambil alih tampuk pentadbiran pergerakan Pemuda semasa Tee Keat memutuskan untuk bertanding ke jawatan Naib presiden pada 2005 di mana sebelum itu Tiong Lai adalah setiausaha agung Pemuda MCA. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|