Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 06/11/2009
Keputusan tidak panggil EGM kedua tidak hormati perwakilan - Ka Siong

Keputusan tidak panggil EGM kedua tidak hormati perwakilan - Ka Siong

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan keputusan parti itu untuk tidak memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) sebagai tidak menghormati suara perwakilan.

Beliau yang terkilan dengan perkembangan tersebut menegaskan, EGM kali kedua perlu diadakan jika pemimpin MCA ingin melihat parti itu kembali bersatu dan berada pada landasan yang betul.

"Keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng mengecewakan saya. Sepatutnya, apa juga tuntutan dan rayuan (untuk mengadakan EGM) dilayan dengan adil.

"Soal resolusi tidak bertepatan dengan perlembagaan parti atau apa saja ... semua pihak ada tafsiran yang berlainan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut dalaman MCA yang berterusan selepas 'drama' terbaru menyaksikan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kembali ke jawatan asal sebagai timbalan presiden, manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai yang sempat memegangnya selama 19 hari terpaksa kembali menjadi naib presiden.

Minggu lalu, 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, termasuk naib presiden, Tan Kok Hong, Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ka Siong dengan disokong Tiong Lai telah mengemukakan surat kepada Foon Meng meminta diadakan satu lagi EGM untuk membuat pemilihan baru parti.

Namun, cadangan tersebut ditolak atas alasan tidak bertepatan dengan perlembagaan parti dan tidak dapat dijalankan mengikut pandangan ketua undang-undang baru parti itu iaitu Lim Hong San.

Ka Siong memberitahu, tujuan memanggil EGM kali kedua bukan untuk mengekalkan jawatan sesiapa atau melindungi mana-mana pihak, sebaliknya memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan yang baru.

Kata beliau, sepatutnya, MCA memberi peluang kepada perwakilan memilih sekali lagi pemimpin mereka berlandaskan pemerhatian masing-masing bagi menyelesaikan segala kekusutan dan kemelut yang dihadapi.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang menyifatkan kaedah perundangan langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis MCA, Ka Siong berkata, pandangan itu tepat dari sudut Chee Heung yang merupakan seorang peguam.

"Saya menghormati pandangan tersebut kerana beliau memang mengharapkan penyelesaian melalui perundangan. Bagi saya pula, dalam parti politik selain perundangan, suara ahli parti juga patut kita dengar.

"Itu yang paling penting kerana akhirnya kita memerlukan sokongan ahli dan masyarakat dalam memulihkan kembali parti," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN