|
JOHOR BAHRU 5 Nov. - MCA negeri mahu parti itu segera mengadakan pemilihan baru bagi menyelesaikan krisis kepimpinan yang semakin serius dan berlarutan.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Tan Kok Hong bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi sama ada mahu melaksanakan pemilihan baru itu atau sebaliknya.
Beliau berkata, kemelut parti itu seharusnya sudah selesai kerana MCA mempunyai agenda lebih besar untuk melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Fokus utama MCA ketika ini adalah mesti memenangi pilihan raya umum akan datang dengan menawan hati pengundi untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
"Itu tugas yang lebih penting kerana MCA bukan sahaja perlu menarik kembali sokongan masyarakat Cina malah seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 kilang plastik, Basf Engineering di Pasir Gudang di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini kemelut MCA apabila Naib Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhasrat mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden parti itu.
Kelmarin, Jawatankuasa Pusat (CC) MCA memutuskan Soi Lek memegang semula jawatan Timbalan Presiden manakala Tiong Lai kembali kepada jawatan Naib Presiden.
Ditanya tindakan Tiong Lai itu, Kok Hong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri berkata, perkara itu terserah kepada parti untuk menyelesaikannya.
IKLAN@UTUSAN
|