Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 06/11/2009
Tiong Lai tetap tidak berganjak

Tiong Lai tetap tidak berganjak

PUTRAJAYA 5 Nov. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tetap tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus kekal sebagai orang nombor dua parti itu.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk meneliti status kedudukan jawatan itu sebelum tindakan perundangan diambil.

''Berhubung jawatan saya sebagai timbalan presiden, saya serahkan kepada peguam untuk membuat kajian.

''Ini untuk melihat dari sudut perundangan secara tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Inovasi 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan, sebelum ini dilaporkan mahu merujuk keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengembalikan jawatan timbalan presiden parti itu kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ke mahkamah.

Menteri Kesihatan itu yang dikembalikan ke jawatan asalnya sebagai Naib Presiden MCA dipetik sebagai berkata, campur tangan ROS dalam urusan parti itu tidak sah kerana keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober lalu adalah muktamad.

EGM itu meluluskan usul tidak percaya kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan menolak Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden.

Pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan itu, Tiong Lai juga menegaskan, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng dan pegawai-pegawai parti perlu menghormati permintaan pihak yang mahu EGM kedua diadakan.

''Saya fikir pihak yang membuat permintaan agar EGM diadakan mempunyai hak berbuat demikian.

'''Jadi setiausaha agung dan pegawai-pegawai parti perlu menghormati perlembagaan parti, apa saja peruntukan (dalam perlembagaan) perlu dihormati," tegasnya.

Mengenai saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar MCA mengadakan tempoh bertenang dalam mengatasi kemelut itu, beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana mengambil berat terhadap MCA.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN