Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 06/11/2009
Mula bincang cadangan autonomi

Mula bincang cadangan autonomi

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Task Force 2010 (Malaysia) mencadangkan supaya satu dialog diadakan antara pihak-pihak berkaitan di selatan Thai dengan kerajaan negara itu bagi mencari jalan penyelesaian mengenai konflik di wilayah berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar (gambar) berkata, langkah itu sejajar dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan Thailand mengambil kira untuk memberikan status autonomi (dalam bentuk tertentu) sebagai usaha ke arah mencari jalan perdamaian di selatan Thai.

Sambil melahirkan rasa syukur kerana cadangan Najib itu mendapat sokongan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, beliau berkata, dialog itu boleh dilaksanakan secara langsung atau pada peringkat permulaan dengan menggunakan pihak-pihak tertentu sebagai perantara.

''Apa yang penting ialah inisiatif untuk mencari titik persefahaman ke arah penyelesaian konflik dapat dimulakan,'' katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Ketika mengemukakan cadangan mengenai autonomi itu, Najib berkata, terserah kepada Thailand untuk membuat keputusan sejauh mana autonomi di selatan Thai patut dibenarkan dan Malaysia selaku negara jiran tidak akan campur tangan.

Mengulas lanjut, Wan Abu Bakar yang merayu supaya pemimpin masyarakat di selatan Thai tidak melepaskan peluang terbuka itu berkata, Task Force 2010 (Malaysia) akan memberikan segala bentuk kerjasama dalam bidang kuasa yang ada padanya sebagai usaha ke arah memulakan inisiatif tersebut.

''Kita juga akan menemui pihak-pihak yang relevan di beberapa buah negara untuk berbincang dan mendapat pandangan berikutan cadangan autonomi itu,'' katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin politik, ketua masyarakat, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan serta para cerdik pandai di selatan Thai menubuhkan segera jawatankuasa sementara sebagai persediaan ke arah pertemuan dengan pihak kerajaan Thailand.

''Walaupun kita sedari perkembangan di selatan Thai adalah merupakan perkara domestik Thailand namun saya percaya sudah tiba masanya untuk semua pihak sama-sama membantu dengan cara masing-masing bagi memudahkan usaha memulakan 'hubungan' di antara kedua-dua belah pihak.

''Dalam soal ini, Task Force 2010 (Malaysia) bersedia memberi pandangan kepada pihak-pihak yang memerlukan atas keikhlasan untuk melihat keamanan wujud segera di selatan Thai,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN