|
![]() |
|
Empat ahli jawatankuasa pusat MCA yang dipecat (dari kanan) Yoo Wei How, Chor Chee Heung, Chai Kim Sen dan Gan Hong Su di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini memecat empat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu yang dilantik termasuk seorang ahli yang memegang jawatan timbalan menteri.
Mereka yang dipecat ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung; Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Yoo Wei How; Gan Hong Su dan Chai Kim Sen.
Chee Heung dalam sidang akhbar bersama tiga lagi bekas ahli CC itu memberitahu, pemecatan mereka merupakan usaha Tee Keat menyingkirkan individu dalam parti yang tidak sehaluan dengan beliau ke arah mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden MCA.
''Mungkin pemecatan ini tindakan membalas dendam terhadap kami sebagai antara 16 ahli CC yang membuat tuntutan rasmi Khamis lalu memohon pemilihan baru parti diadakan," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Anggota CC terbabit dimaklumkan mengenai pemecatan itu oleh setiausaha politik Tee Keat kira-kira 10.30 pagi ini ketika mereka dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat CC di Wisma MCA.
Mereka telah diberitahu bahawa keanggotaan mereka di dalam CC digantikan dengan tiga anggota CC baru.
Chee Heung berkata, mereka terkejut dengan pemecatan itu terutama apabila ia dimaklumkan ketika MCA mengadakan mesyuarat CC penting ini bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menamatkan kemelut dalaman parti.
''Presiden mungkin ada alasan untuk berbuat demikian, namun kenapa dilakukan ketika beliau sedang mengusahakan pelan perpaduan untuk pucuk pimpinan parti,'' katanya.
Menurutnya, mereka tidak dimaklumkan mengenai alasan pemecatan itu dan menganggap tindakan ini hanya mencetuskan masalah baru dalam parti.
Beliau juga berpendapat cara terbaik menyelesaikan krisis dalaman MCA pada masa ini adalah dengan mengadakan pemilihan baru parti, sekali gus memulihkan imej parti.
Mengenai kemungkinan pemecatannya akan menjejaskan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri, Chee Heung menjelaskan, persoalan itu tidak timbul pada masa ini memandangkan pelantikan barisan Kabinet dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Tee Keat berhak memecat saya sebagai anggota CC atas kapasiti Presiden MCA, namun pelantikan atau pelucutan jawatan timbalan menteri adalah hak Perdana Menteri.
''Perdana Menteri (baru-baru ini) telah meminta semua pihak tidak mempersoalkan perkara itu,'' katanya.
Menurutnya, keempat-empat mereka tidak akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan pemecatan tersebut kerana tiada sebab untuk mereka berbuat demikian.
IKLAN@UTUSAN
|