Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 04/11/2009
Defisit PTPTN RM48 bilion 2020

Defisit PTPTN RM48 bilion 2020

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka menanggung defisit berjumlah RM48 bilion pada 2020 sekiranya peminjam masih berdegil untuk membuat pembayaran balik pinjaman.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, kerajaan bimbang masalah tersebut akan menyebabkan bakal peminjam mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman pada masa akan datang.

Sehubungan itu kata beliau, kementerian amat berharap para peminjam lebih bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman masing-masing bagi membantu pelajar baru.

‘‘Kerajaan memang prihatin tetapi kita tidak sewenang-wenangnya memberikan pinjaman itu dijadikan seperti biasiswa.

‘‘ Kita harus ingat bahawa PTPTN merupakan tabung pinjaman untuk pelajar sahaja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas- Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ibrahim dalam soalannya menyatakan jumlah hutang PTPTN yang tertunggak kini tidak menjadi masalah besar kepada kerajaan berikutan kerajaan mempunyai pendapatan lain, justeru beliau mencadangkan supaya jumlah tunggakan itu dihapuskan.

Terdahulu, Kok Chung menjawab soalan lisan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) yang ingin tahu jumlah sebenar tunggakan PTPTN dan apakah perancangan kerajaan dalam membantu siswazah yang tidak berpeluang menerima pinjaman bagi meneruskan pengajian.

Beliau berkata, sehingga 30 September 2009, jumlah yang sepatutnya dibayar balik oleh peminjam kepada tabung ialah RM3.235 bilion melibatkan kira-kira 780,000 pinjaman yang telah diluluskan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM346 juta yang dibuat oleh peminjam telah diberi penangguhan bayaran balik manakala sejumlah RM1.535 bilion masih belum dibayar balik.

‘‘Golongan yang enggan dan belum membayar balik ini terdiri daripada mereka yang langsung tidak memberi maklum balas kepada pihak PTPTN,” ujar beliau.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN