|
SHAH ALAM 3 Nov. – Tindakan menahan penceramah yang menyampaikan kuliah tanpa tauliah perlu dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika kesalahan itu sedang dilakukan oleh individu berkenaan.
Ini termasuk penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dibuat ketika beliau sedang menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang tengah malam semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi menjelaskan, sama seperti menahan orang yang tidak berpuasa dan pasangan yang berkhalwat, penahanan penceramah terlibat mengikut Enakmen Pentadbiran Islam Selangor juga perlu dibuat dengan cukup bukti serta saksi.
Sehubungan itu katanya, walaupun banyak kes seumpamanya dilakukan oleh individu lain termasuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid, jika pihak JAIS tiada maklumat awal atau tidak sempat tiba di tempat kejadian semasa kesalahan sedang dilakukan, penahanan tidak boleh dibuat.
‘‘Jika JAIS mendapat maklumat yang tepat dan cukup bukti serta saksi tentang mereka yang sedang melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Islam Selangor, tangkapan pasti akan dilakukan tanpa mengira siapa individu tersebut kerana tiada pilih kasih dalam soal penahanan mereka yang bersalah.
‘‘Tangkapan yang dilakukan tanpa saksi dan bukti yang cukup pasti sia-sia sahaja, malah terdapat beberapa kes yang berjaya ditangkap ketika kesalahan berlaku pun kadang kala tidak dapat didakwa di mahkamah atas masalah teknikal dan lain-lain.
‘‘Jadi, untuk membuat tangkapan ini bukan semudah yang disangka dan kita juga tidak pilih kasih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu JAIS bersikap pilih kasih dalam tindakan mereka menahan Mohd. Asri.
Tambah Mohamed Khusrin lagi, dalam kes penahanan Mohd. Asri, pihaknya telah mendapat aduan mengenai kegiatan bekas mufti itu mengadakan kuliah tanpa tauliah di negeri ini sejak tiga tahun lalu.
Sejak itu katanya, JAIS mengikuti perkembangan bekas mufti itu dan ternyata Mohd. Asri tidak pernah berhenti walaupun sudah dimaklumkan perbuatannya itu salah mengikut Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.
‘‘Sebagai seorang bekas mufti sepatutnya beliau menghormati undang-undang agama di negeri ini,” tegasnya.
IKLAN@UTUSAN
|