|
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sektor kewangan Islam yang semakin pesat wajar dijadikan elemen strategik bagi memulihkan krisis ekonomi dunia.
Perdana Menteri berkata, saranannya itu berdasarkan kepada kemampuan sektor berkenaan untuk terus berkembang walaupun dunia kini berhadapan dengan masalah ekonomi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kepada pihak yang terlibat melaksanakan sistem tersebut supaya melakukannya bersungguh-sungguh dan bukannya secara sambil lewa.
''Untuk tujuan itu, kita memerlukan beberapa tindakan agar sektor ini benar-benar berperanan dalam menangani sebarang kesan ekonomi ekoran berlakunya krisis sama ada pada masa ini atau pada masa akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur kali ke-6 (KLIFF 2009) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Najib berkata, tindakan yang dimaksudkannya itu merangkumi empat strategi.
Pertama, katanya, memastikan pelaksanaan sistem kewangan Islam menepati matlamat dan objektif yang ditetapkan oleh syariat.
''Kedua, memastikan pelaksanaan sistem ini disokong sepenuhnya oleh amalan urus tadbir yang berkesan iaitu dengan menentukan tugas institusi kewangan Islam dilakukan dengan betul supaya ia menepati kehendak syariah.
''Ketiga, memastikan sistem pengurusan risiko mempunyai pelindung yang sesuai iaitu dengan mengambil langkah menyediakan sistem yang canggih bagi tujuan melindungi sektor ini,'' katanya.
Terakhir kata Perdana Menteri, memastikan prasarana sokongan yang lebih komprehensif diwujudkan antaranya undang-undang, peraturan dan kerangka kerja bagi tujuan pembangunan industri kewangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sektor kewangan Islam di Malaysia telah memasuki fasa baru apabila operasinya selaras dengan pelaksanaan persekitaran yang lebih liberal.
''Kita telah pun menawarkan pelbagai insentif untuk menarik lebih banyak penyertaan pelabur dan tenaga mahir untuk datang ke negara ini bagi melibatkan diri dalam sektor ini.
''Kerajaan sendiri telah mempromosi segala insentif yang ditawarkan supaya sektor yang sama di luar negara datang ke Malaysia bagi merancakkan lagi perkembangan sektor kewangan Islam di negara ini,'' tambah beliau.
IKLAN@UTUSAN
|