VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLITIK

ARKIB : 02/11/2009

Semangat kesukanan di stadium, semangat ukhuwah di masjid

KENAPA Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengeluarkan kenyataan mengingatkan pegawai dan jawatankuasa kariah masjid agar memastikan rumah ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik?

Ini bukan kali pertama kenyataan seumpama itu dikeluarkan sejak pakatan PKR-DAP-Pas memerintah Selangor Darul Ehsan. Tentunya baginda terdengar atau mendapat laporan mengenai pihak tertentu menjadikan masjid gelanggang yang boleh menyakiti dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Kata orang, kalau tiada angin bertiup takkan pokok bergoyang. Titah Sultan Selangor antara lain ialah:

*Orang Islam diminta menghentikan percakapan berunsur cacian, memfitnah, menyakiti hati dan menghina Islam ketika di dalam masjid.

*Masyarakat Islam khususnya orang Melayu perlu sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman.

*Jangan jadikan masjid sebagai hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan.

*Penceramah di masjid perlu mempunyai tauliah.

Membaca kenyataan baginda, jelaslah ada yang tidak kena dengan perjalanan masjid di Selangor. Mungkin disebabkan rebutan kuasa dan masing-masing mahu menunjukkan jaguh. Semuanya ini berlaku selepas tsunami politik pada Mac 2008. Apabila berlaku peralihan kuasa, maka di fikiran orang politik, semuanya perlu berubah. Dewan, balai raya, kelas tadika dan macam-macam lagi yang dulu dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan terdahulu perlu ditukar. Keadaan ini terbawa-bawa hingga ke surau dan masjid. Akhirnya imam, bilal, khatib, siak dan seluruh jawatankuasa yang ada ditukarkan. Imam yang dulunya di depan mengimamkan sembahyang kini berada di belakang menjadi makmum. Dulu penceramah bebas yang cenderung berpolitik susah masuk masjid tetapi kini bebas berceramah. Semuanya kerana politik.

Maka berputiklah benih-benih politik di tempat ibadat. Walaupun lambang dan bendera tidak masuk ke dalam masjid tetapi di tepi pagar masjid sudah ada bendera parti. Di masjid juga tersebar risalah pelbagai ceramah anjuran parti politik. Malahan tidak mengejutkan dalam khutbah Jumaat juga diselitkan unsur-unsur politik. Majlis ceramah yang sebenarnya ada kena mengena dengan politik juga diumumkan sebelum solat Jumaat. Contohnya jenama Forum Perdana Ehwal Islam yang diperkenalkan oleh RTM milik kerajaan Barisan Nasional (BN) diuar-uarkan di dalam masjid. Sekali dengar macam forum RTM tetapi setelah mendengar ahli-ahli panelnya, jelaslah 95 peratus adalah orang politik yang berjawatan dalam parti. Maka forum itu sudah pasti bermotif politik. Bak kata orang terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Harus diingat orang yang ke masjid bukan mewakili satu parti sahaja. Ada orang Pas, PKR, DAP atau UMNO. Mungkin juga orang Gerakan, MCA, MIC, PPP, Kimma dan macam-macam lagi. Tidak semua juga orang politik ini ‘kaki masjid’. Dan mungkin lebih ramai yang ke masjid itu orang yang tidak menjadi ahli mana-mana parti. Mereka ke masjid untuk beribadat. Pada hari Jumaat, mereka mahu mendengar khutbah yang ada kaitan dengan kehidupan beragama untuk dunia dan akhirat.

Janganlah kerana wujud unsur-unsur politik di kawasan atau di masjid, maka orang yang tidak sehaluan dengan parti politik tertentu akan menjauhkan diri daripada masjid.

Kadang-kadang orang yang tidak berparti ini meluat melihat wajah-wajah orang politik terpampang di pagar masjid sama ada berhampiran pintu masuk masjid atau di kawasan tanah perkuburan. Maka tepat sekali titah ingatan Sultan Selangor itu supaya masjid tidak dijadikan gelanggang politik.

Utamakan ibadah. Jangan fikirkan logik akal. Contohnya pada bulan Ramadan, semasa orang sibuk mengadakan solat sunat tarawih yang datang hanya setahun sekali (tidak ada pada bulan lain), ada pula masjid dan surau sibuk menganjurkan majlis tazkirah di tengah-tengah solat tarawih. Ada kariah yang terpaksa mengundi nak adakan tazkirah selepas empat rakaat atau sesudah lapan rakaat tanpa witir. Apa salahnya selesaikan lapan rakaat dan witir tiga rakaat, kemudian tazkirahlah sampai ke subuh. Cuba lihat berapa ramai yang tunggu. Sekarang selepas bulan puasa, berapa kerat masjid/surau mengadakan tazkirah selepas solat maghrib atau isyak? Inilah masalahnya orang kita meletakkan sesuatu di kedudukan yang tidak perlu hanya kerana logik akal mereka. Sedangkan pada bulan Ramadan, kebanyakan mereka yang bekerja sudah mengikuti tazkirah di pejabat (waktu rehat tengah hari), jadi tak perlu disogokkan lagi apabila mereka ke surau atau masjid dengan satu tujuan untuk solat tarawih. Kalau tazkirah sekadar mengingatkan kesedaran tentang Ramadan tidak apa tetapi sebaliknya ada unsur politik. Ingatlah seperti dinyatakan sebelum ini, mereka yang ke masjid dan surau bukan semuanya orang politik. Anak-anak sekolah yang ke masjid atau surau belum tahu ‘sepak terajang’ politik. Jangan rosakkan fikiran mereka dengan unsur-unsur politik melalui tazkirah.

Dalam hal yang sama (isu politik di masjid), eloklah pemimpin Pas seperti Nik Aziz Nik Mat juga mengingatkan penyokong parti itu tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik. Tidak cukup Mursyidul Am Pas itu sekadar mengingatkan peminat bola sepak supaya menunjukkan semangat kesukanan dengan tidak mencampur adukkannya dengan politik. Memang benar nasihat Nik Aziz ketika mengulas tindakan kibar bendera parti politik (Pas) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV semasa beliau menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Perlis minggu lalu.

Kata Nik Aziz: ‘‘Jangan kibar bendera, bukan semua penonton orang Pas, kecil hati mereka nanti. Kita kena tunjukkan semangat kesukanan. Pergi sahaja tengok bola sudahlah. Kalau hendak pun kita takbir, tidak payah buat perkara macam tu,’’.

Maka, jika stadium tempat orang bersorak riuh rendah, membakar mercun atau bunga api kerana menonton perlawanan bola sepak atau konsert hiburan dan sebagainya, kenapa pula masjid yang menjadi tempat beribadah dibiarkan menjadi gelanggang politik? Di stadium boleh diadakan acara politik tetapi di masjid, jangan jadikannya gelanggang politik. Tetapi tidak bermakna orang politik tidak boleh ke masjid!

Di stadium pula, kita boleh bertakbir, boleh berpolitik dalam acara politik. Boleh bersembahyang jemaah isyak atau solat hajat mendoakan kemenangan pasukan sebelum perlawanan bola sepak. Biar satu stadium bersolat sebelum sepak mula. Tetapi bila dah mula bersaing lupakan lambang parti.

Apapun tahniah kepada Kelantan dan Negeri Sembilan yang berjaya menjejakkan kaki ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November ini bagi merebut Piala Malaysia.

Bertandinglah atas semangat kesukanan.

Ingat pesanan Tok Guru jangan bawa bendera parti. Bawalah bendera negeri - Negeri Sembilan atau Kelantan. Jangan tersilap bawa bendera negara lain pulak.

Selamat berjuang!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.