VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/11/2009

Madinah Al-Munawarah kota suci tercinta


SUASANA di satu penjuru di perkarangan Masjid al-Nabawi, Madinah, semalam. Kehadiran payung-payung gergasi yang siap dipasang pada tahun lalu menambahkan lagi keindahan masjid itu.


RIBUAN jemaah haji dari pelbagai negara telah berada di kota Madinah ketika saya menjejakkan kaki di tanah suci ini pada 18 Oktober lalu dan jumlah tersebut meningkat begitu mendadak sehingga ke angka ratusan ribu selang beberapa hari kemudian.

Sebagai kota kedua yang dianggap paling suci selain Mekah, mengunjungi Madinah walaupun bukan termasuk dalam rukun atau wajib haji tetapi setiap jemaah digalakkan menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan era awal penyebaran syiar Islam di muka bumi ini.

Beribadat di Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Nabi adalah satu penghormatan dan bakal mendapat syafaat baginda Rasul pada hari Kiamat.

Menurut satu hadis, Rasullullah bersabda, “Satu solat yang dikerjakan di masjidku ini (Masjid Nabawi), lebih utama dari 1,000 solat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram dan satu solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 solat di masjid-masjid lain.”

Bagi jemaah haji Malaysia yang diuruskan oleh Tabung Haji, sebahagian besar daripada mereka akan menginap di Madinah terlebih dulu selama lapan hari sebelum memasuki Mekah. Hal yang sama turut diamalkan oleh jemaah dari sesetengah negara luar termasuk Turki, Indonesia, Thailand, India dan Pakistan.

Bagaimanapun, banyak juga jemaah dari sesetengah negara yang menziarahi kota Madinah selepas selesai mengerjakan haji atau hanya menginap di kota itu untuk dua tiga hari sahaja kerana tidak mahu melepaskan peluang melakukan sebanyak mungkin ibadat di Masjidil Haram di Mekah terutama umrah sebelum tibanya hari wukuf.

Di tanah suci Madinah, tempat yang paling menjadi tumpuan ialah Masjid Nabawi dan Makam Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Sidik dan Saidina Omar Al-Khatab.

Keindahan masjid Nabi itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Selain saiz dan bentuknya yang unik, bahagian dalamnya memang indah dan menakjubkan. Payung-payung gergasi yang dibina oleh kerajaan Arab Saudi di perkarangan luar dan bahagian terdedah di dalam masjid itu menambahkan lagi seri dan sejuk mata memandang.

Antara kawasan yang menjadi sasaran utama di Masjid Nabawi adalah Makam Nabi dan dua sahabatnya itu selain satu ruangan solat yang agak sempit dikenali sebagai Raudhah. Raudhah menjadi begitu istimewa kerana terletak di antara Makam Nabi dan mimbar. Ruangan solat itu dihamparkan permaidani berwarna hijau dan peliknya Raudhah sentiasa berbau wangi berbanding bahagian lain sehingga kita mahu duduk lama sambil berzikir di kawasan itu.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Di antara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telagaku.”

Ada pula pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan taman itu adalah tempat itu kelak akan berpindah ke akhirat. Selain itu, Makam Nabi dulunya adalah bekas rumah Rasullullah dan mimbar yang ada sekarang di Masjid Nabawi adalah tempat Nabi berkhutbah sambil berdiri bersandarkan batang kurma. Mimbar khusus dibina untuk baginda selepas itu atas syor para sahabatnya.

Dalam satu hadis lain, Rasullullah bersabda, “Mimbarku adalah pintu dari pintu-pintu syurga.” Berdasarkan kepada hadis-hadis itu, tidak hairan kenapa Raudhah menjadi antara sasaran utama para jemaah haji dari seluruh dunia.

Raudhah juga dikatakan tempat yang doa seseorang mudah dimakbulkan Tuhan. Tidak hairan kenapa ruang sempit berkarpet hijau dan harumannya begitu menyegarkan menjadi tumpuan para jemaah selain Makam Nabi.

Pada hari pertama dan kedua saya berada di Madinah, saya sempat lagi bersolat, berzikir dan berdoa di Raudhah kerana jemaah luar negara ketika itu tidak ramai. Masuk hari ketiga dan seterusnya terutama dengan ketibaan jemaah dari India, Turki dan Pakistan, peluang itu menjadi terlalu sukar.

Ribuan jemaah berebut-rebut untuk bersolat dan berdoa di Raudhah. Datang dua jam ke masjid sebelum masuk waktu solat belum tentu dapat bersolat di Raudhah kerana kawasan itu sentiasa penuh dengan jemaah. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana dalam tempoh lapan hari di Madinah, masih berpeluang beribadat di Raudhah sebanyak tiga kali.

Seperti mana di Raudhah, Makam Nabi, Khalifah Abu Bakar dan Saidina Omar selepas tiga hari saya berada di kota ini berlaku ‘kesesakan’ luar biasa apabila ratusan ribu jemaah mula memasuki Madinah.

Keadaan itu berlaku selain daripada terlalu ramai jemaah, ramai daripada mereka berhenti terlalu lama untuk berdoa dan ada pula berebut-rebut mahu menyentuh pintu makam.

Melihat Makam Nabi dan dua Khalifah terulung itu, perasaan kita benar-benar tersentuh. Ramai jemaah menitis air mata apabila menziarahi makam tersebut. Saya sendiri macam tidak percaya dapat peluang melihat makam tersemadinya seorang Nabi terakhir dan dua Khalifah yang banyak membantu baginda Rasul sehingga syiar Islam dapat tersebar luas di bumi bertuah ini.

Makam

Di ketiga-tiga makam ini, anggota polis dan pegawai masjid melarang kita berdoa mengarah ke arah makam. Tidak tahulah kenapa tetapi mungkin mereka mahu mengelak unsur-unsur tidak diingini. Jemaah digalakkan berdoa menghadap ke arah kiblat dan bukan ke arah makam.

Di luar Masjid Nabawi, satu lagi pemandangan yang amat menginsafkan dapat dilihat iaitu kawasan perkuburan al-Baqi’. Perkuburan itu menempatkan 10,000 sahabat, isteri-isteri termasuk Siti Khatijah, anak-anak Nabi dan Khalifah Islam ketiga iaitu Saidina Othman bin Affan.

Keadaan kubur itu terlalu sederhana. Hanya batu-batu bukit berwarna hitam menjadi batu nesan mereka sama ada kubur ahli keluarga Nabi, Saidina Othman atau sahabat-sahabat baginda.

Bagi mengelak perkara-perkara tidak diingini termasuk perbuatan khurafat, tidak ada papan tanda yang menunjukkan sesebuah kubur itu disemadi dengan tokoh tertentu. Yakni kita tidak tahu mana satu kubur Siti Khatijah dan mana satu kubur Siti Fatimah.

Hanya orang dapat mengagak sesebuah kubur itu menempatkan kubur tokoh-tokoh penting pada era Nabi berdasarkan saiz kubur yang agak besar dari biasa.

Peluang untuk memasuki perkuburan al-Baqi‘ juga bukan mudah. Biasanya jemaah hanya dibenarkan melihat perkuburan itu dari luar pagar. Cubaan saya sendiri untuk beberapa kali memasuki perkuburan itu kerap gagal kerana apabila apabila tiba, kawasan itu ditutup. Hanya pada hari terakhir sebelum bertolak ke Mekah, saya berdoa kepada Tuhan di Masjid Nabawi agar dipermudahkan peluang menziarahi perkuburan itu.

Alhamdullillah, doa saya termakbul. Keluar dari masjid sebelum bersiap untuk bertolak ke Mekah pada pagi keesokkannya, saya berpeluang bukan setakat melihat perkuburan itu dari luar pagar tetapi dapat pula memasuki dan meninjau di dalam kawasan perkuburan. Kebetulan pula ada seorang jemaah luar membisikkan pula kubur tempat Saidina Othman disemadikan. Kubur Saidina Othman adalah antara kubur yang saiznya agak besar dan turut dikelilingi oleh batu-batu bukit hitam.

Kiamat

Saya diberitahu bahawa apabila tiba hari Kiamat, penghuni kubur yang mula-mula akan dibangkitkan ke Padang Mahsyar kelak adalah para penghuni di perkuburan al-Baqi’.

Untuk makluman, pasukan keselamatan dan pegawai Masjid Nabawi begitu ketat memantau jemaah yang cuba merakamkan gambar di dalam dan di kawasan sekitar perkarangan Masjid Nabawi.

Pada hari pertama di Madinah, saya sempat diajak oleh seorang pegawai masjid itu untuk memasuki pejabatnya dan dijamu dengan beberapa cawan kecil teh istimewa Arab. Tidak tahulah kenapa tiba-tiba beliau melayani saya sebagai tetamu dan mungkin kerana simpati kerana datang terlalu awal ke masjid iaitu 2.30 pagi sedangkan masjid hanya dibuka pada pukul 3 pagi hingga 10 malam. Semasa perbualan itu, pegawai masjid itu tidak tahu saya wartawan dan hanya tahu saya jemaah dari Malaysia. Selain Masjid Nabawi, Makam Nabi dan perkuburan al-Baqi‘, saya berkesempatan melawat beberapa lagi tempat bersejarah yang disyorkan apabila berada di Madinah. Antaranya Masjid Quba dan Masjid Qiblatan. Masjid Quba yang letaknya beberapa kilometer dari Masjid Nabawi turut mempunyai keistimewaan sendiri. Semasa hidupnya, Nabi amat menyayangi masjid tersebut kerana dikatakan ia dibina atas dasar taqwa. Kerana itu di zaman Nabi lagi, saya difahamkan bahawa sesiapa yang mengambil wuduk di rumah dan berjalan untuk beribadat di Masjid Quba, pahalanya begitu besar. Nabi pun kerap bersembahyang di Masjid Quba.

Di samping Masjid Quba, sebuah lagi masjid yang mempunyai nilai sejarah adalah Masjid Qiblatan. Masjid itu dinamakan demikian kerana masjid itu dulunya pernah berkiblatkan ke arah Baitulmaqdis sebelum Nabi SAW kemudiannya meminta agar kiblatnya diarahkan ke Kaabah seperti sekarang ini.

Bagi sesiapa yang pernah ke Masjid Qiblatan dapat menyaksikan dari dalam masjid itu ada dua arah kiblat iaitu kiblat dulu di salah satu pintu masuk utama dan kiblat sekarang yang bertentangan dengannya.

Selain menziarahi masjid-masjid itu, kawasan bersejarah lain yang wajar dilawati adalah Makam Saidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi yang mati syahid dalam peperangan Uhud. Makam Saidina Hamzah yang berkongsi batu nisan disemadi bersama 69 syuhada Islam yang terkorban dalam perang menentang tentera kafir Quraish.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya ceritakan mengenai keistimewaan menziarahi kota suci Madinah dan bagi jemaah yang dapat bertutur bahasa Arab, banyak lagi fakta dapat diceritakan untuk manfaat umat Islam di Malaysia untuk dijadikan renungan dan pengajaran. Perbanyaklah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW agar satu hari nanti, kita dipermudahkan peluang untuk beribadat di Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Nabi. - MINGGUAN.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.