|
JAKARTA 30 Okt. – Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini bersumpah akan mempertahankan agensi pencegahan rasuah negara selepas penahanan dua penyiasat kanannya.
“Sekiranya ada pihak yang mahu menghancurkan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), saya akan berada di barisan depan untuk mempertahankannya,’’ katanya.
Susilo yang dipilih semula sebagai Presiden pada pilihan raya Presiden Julai lalu, telah memanggil ketua polis untuk memberi penjelasan kepada rakyat Indonesia mengenai penahanan tersebut.
Kata Susilo lagi, adalah penting bagi memperbetulkan ‘salah faham’ mengenai konflik antara polis, pendakwa raya dengan KPK namun sekiranya ketiga-tiga badan itu perlu memberkas sesiapa beliau tidak dapat campur tangan.
Beberapa menteri dan pegawai telah dipanggil ke pejabat beliau berhubung penahanan dua pegawai KPK, Bibit Samad Riyanto dan Chandra Hamzah.
Dua pegawai kanan KPK itu disiasat kerana disyaki terlibat dalam jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Kes mereka terpampang di muka depan akhbar-akhbar selama berminggu-minggu, bersama-sama dengan perbicaraan berterusan ketua KPK, Antasari Azhar yang didakwa merancang pembunuhan seorang ahli perniagaan pada awal tahun ini.
Semua pegawai KPK menafikan sebarang salah laku dan Antasari turut mengadu bahawa dia dianiaya.
Media Indonesia meniupkan spekulasi bahawa polis dan Pejabat Peguam Negara cuba menghapuskan KPK, badan bebas yang banyak mengecap kejayaan dalam membanteras rasuah.
Susilo juga berjanji untuk menyelesaikan ‘pergeseran’ yang mungkin timbul antara polis, Pejabat Peguam Negara dan KPK.
Susilo dilaporkan berang kerana nama beliau disebut dalam rakaman perbualan rahsia telefon yang memberi pembayang wujudnya konspirasi menjatuhkan KPK. – AFP
IKLAN@UTUSAN
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |