VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KORPORAT

ARKIB : 30/10/2009

DAN 'hukum' pemilik AP tulen?

JOHOR BAHRU 29 Okt. - Mutiara Motors Sdn. Bhd. (Mutiara Motors) melahirkan rasa kecewanya terhadap semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang disifatkannya menghukum para pemegang atau pemilik permit import (AP) tulen yang menjalankan dan membangunkan perniagaan mereka.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ahmad Kemin (gambar), pengenaan bayaran RM10,000 bagi setiap pengeluaran permit import (AP) terbuka dan penghapusan sistem itu pada 2015, tidak sepatutnya dibuat secara pukul rata tetapi sebaliknya mengikut kes.

Beliau berkata, syarikat pemegang AP bukan sahaja tidak mendapat keadilan sewajarnya tetapi sebaliknya disamakan dengan syarikat yang menyalahgunakan AP.

Beliau turut hairan kenapa bayaran RM10,000 dikenakan mulai tahun depan sedangkan sistem itu bakal dihapuskan pada 2015.

"Kenapa orang yang tidak bersalah turut dimasukkan dalam penjara? Sepatutnya hanya orang yang bersalah sahaja dipenjarakan. Mana boleh orang yang jujur disamakan dengan orang tidak jujur.

"Kami mengikut semua polisi yang ditetapkan oleh kerajaan berkaitan syarikat pemegang AP, tetapi akhirnya kami menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

"Kerajaan perlu menimbang semula jumlah bayaran dan tarikh pemansuhan itu kerana saya percaya ia akan lebih menggalakkan syarikat menjual AP mereka dan bukannya menjalankan perniagaan dengan telus dalam tempoh lima tahun akan datang ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang memperkenalkan 18 langkah baru termasuk caj sebanyak RM10,000 bagi setiap permit import (AP) terbuka yang dikeluarkan dan penghapusan sistem itu pada 2015.

Ditanya kesan yang bakal dihadapi Mutiara Motors, Ahmad berkata, syarikat itu berkemungkinan besar berdepan dengan 'musibah' kerana pendapatan syarikat diunjurkan menjadi negatif.

Ini kerana jelasnya, Mutiara Motors dikenali kerana menjual kereta import pada harga rendah kerana syarikat itu lebih mementingkan jumlah jualan tinggi dan bukannya keuntungan berlipat kali ganda.

Tegasnya, dengan purata keuntungan kasar antara RM12,000 hingga RM15,000 bagi sebuah kereta, operasi syarikat itu tidak akan mampu bertahan lagi selepas ditolak dengan bayaran RM10,000, kos penghantaran dari kargo ke pusat pameran, kos kargo, cukai Kastam, cukai pendapatan dan gaji pekerja serta perbelanjaan lain.

"Kerajaan pernah membayangkan AP terbuka akan dimansuhkan pada 2020 dan mengambil wawasan itu, kami membina ibu pejabat baru di Larkin ini yang bernilai RM26 juta dengan perancangan semua hutang dapat diselesaikan pada tahun berkenaan.

"Akhirnya, kami kini akan menanggung hutang apatah lagi dengan tindakan pihak bank yang dijangka tidak mudah memberi pinjaman selepas 2015, selain gelagat pengguna yang akan mengguna kuasa membeli mereka dengan menunggu harga baru kereta import selepas 2015," katanya sambil memberitahu Mutiara Motors merupakan antara syarikat pembayar cukai Kastam tertinggi di Johor sebanyak kira-kira RM1.2 juta sebulan.

Mengulas penjelasan kerajaan bahawa pemansuhan permit import (AP) akan memberikan hala tuju yang jelas dan sebagai tempoh peralihan kepada pemegang AP sedia ada untuk mempelbagai dan menceburi perniagaan baru, Ahmad berkata, tempoh itu amat singkat dan juga syarikat perlu mengambil kira kepakaran tinggi dalam bidang lain.

"Kami mempunyai kepakaran dalam bidang automatif sejak 1982 dan apa yang berlaku seolah-olah menyuruh doktor pakar mata membedah pesakit yang mempunyai masalah usus yang kronik.

"Memang mudah untuk bercakap membuka perniagaan baru tetapi banyak faktor perlu difikirkan seperti modal, tenaga kerja dan ilmu pengetahuan," kata beliau yang kecewa apabila hasrat Mutiara Motors untuk menjadi contoh kejayaan kepada usahawan Bumiputera lain akan terkubur.

Ahmad berkata, persoalan juga timbul apabila semakan semula DAN itu seperti berat sebelah dan tiada penyeragaman kerana AP terbuka dihapuskan pada 2015 dan AP francais yang melibatkan kenderaan baru akan dimansuhkan pada 31 Disember 2020.

Sementara itu, Mokhtar turut mempersoalkan mekanisme setiap AP terbuka yang dikeluarkan akan dikenakan bayaran sebanyak RM10,000 dan kriteria apa yang digunapakai kerajaan ketika menetapkan jumlah itu.

Beliau berkata, keuntungan syarikat pemegang AP bukan lagi seperti tempoh 10 dan 20 tahun lalu yang boleh mencapai antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi sebuah kereta.

Ahmad mempersoalkan kenapa syarikat AP bagi industri lain seperti gula dan beras tidak pula diminta membayar bayaran yang sama untuk mendapatkan AP mereka.

"Kita juga diberitahu bahawa sebuah dana akan diwujudkan menerusi kutipan bayaran itu tetapi soalnya adakah ia akan sampai kepada golongan yang disasarkan.

"Bayaran RM10,000 bagi setiap AP merupakan jumlah pelaburan yang besar dan bagi 100 AP kereta import, ia melibatkan bayaran sebanyak RM1 juta.

"Bayangkan dengan jumlah sebanyak itu kami mampu mengembangkan operasi syarikat yang secara tidak langsung merancakkan lagi industri dan ekonomi dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia," kata beliau yang terkilan apabila Mutiara Motors tidak pernah diminta menyuarakan pandangan berkaitan AP dan semakan semula DAN.

Ketika ini, Mutiara Motors merupakan pemegang permit import (AP) dan juga wakil pengedar kereta Toyota terbesar di Johor.

Ahmad, seorang bekas pekerja biasa di Jabatan Kerja Raya (JKR) menubuhkan syarikat itu pada Disember 1982 dengan modal awal sebanyak RM8,000 yang dikongsi bersama empat rakan niaga.

Mutiara Motors kini turut memiliki anak syarikat lain seperti Mutiara Motors Performance Products Sdn. Bhd., Mutiara Motors Resort Sdn. Bhd., Mutiara Motorsports Sdn. Bhd. dan M7 Motorsports Sdn. Bhd.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.