Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 30/10/2009
Tee Keat, Tsu Koon didesak letak jawatan

Tee Keat, Tsu Koon didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Seorang penyokong kerajaan dengan suara yang lantang dan sinis hari ini mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet kerana beliau tidak lagi mendapat kepercayaan daripada ahli parti serta rakyat.

Pada masa yang sama Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berundur daripada barisan Kabinet dengan segera kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.

Dalam isu melibatkan Tee Keat, beliau berkata, maruah serta imej Presiden MCA itu telah jatuh di mata ahli-ahli parti serta rakyat secara keseluruhan apabila kepimpinannya jelas tidak lagi diterima iaitu hasil daripada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA baru-baru ini .

“Saya bercakap atas kepentingan rakyat. Perdana Menteri seorang yang bermaruah, oleh itu menteri juga harus bermaruah. Sedarlah diri...berhentilah (letak jawatan) buat apa tunggu lagi jika kepimpinan tidak lagi berkesan.

“Maruah dan imej dia telah pun jatuh di hadapan rakyat. Jadi, bagaimana dia hendak membantu Perdana Menteri kerana menteri ini tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Saya minta sekali lagi berhentilah menjadi menteri Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan bajet 2010.

EGM MCA baru-baru ini telah meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat, menyokong usul untuk menerima semula Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai ahli parti, tetapi pada masa yang sama, menolak usul mengembalikan beliau sebagai Timbalan Presiden parti.

Mohamad berkata, selain jawatan menteri, Tee Keat juga perlu mengundurkan diri daripada terus menerajui MCA.

“Kalau ada harga diri ada maruah berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Awak Presiden MCA yang tidak lagi dapat kepercayaan ahli...berhentilah, ramai lagi pemimpin dalam MCA boleh memimpin parti. Apa, you ingat you seorang sahaja yang pandai,” tegasnya.

Menyentuh soal Tsu Koon pula Mohamad berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukan sahaja gagal menunjukkan prestasi sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan dengan indeks petunjuk prestasi (KPI) tetapi turut disifatkan sebagai seorang menteri pengampu.

“Saya seorang Ahli Parlimen mewakili rakyat. Suara Ahli Parlimen harus didengar walaupun ini kuasa Perdana Menteri. Jadi senator, minta maaf...masuk pintu belakang, jadi menteri tetapi bila senator jadi menteri, tidak pernah datang ke Parlimen.

“Bila Perdana Menteri datang baru dia datang, bila Perdana Menteri tidak ada dia pun tiada, Perdana Menteri ada dia ada, Perdana Menteri tidak ada dia pun tiada. Ini namanya menteri mengampu,” katanya sambil disusuli dengan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang lain.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika mencelah telah bertanya kepada Mohamad sama ada yang dimaksudkan itu adalah meminta Tsu Koon meletak jawatan sebagai Menteri Kabinet, Ahli Parlimen Sri Gading itu dengan tegas menjawab: “Sudah terang lagi bersuluh.”

Dalam pada itu beliau menegaskan semua pihak terutama barisan menteri Kabinet perlu memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk meneruskan program membela rakyat sejajar dengan slogan rakyat didahulukan.

“Kepimpinan yang berkesan hendaklah disambut supaya segala misi dan visi khususnya daripada Perdana Menteri tercapai,” tambahnya.

Sementara itu beliau meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan dakwaan bahawa masakan tom yam campur boleh mengakibatkan daya tahan tubuh menjadi lemah.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN