|
![]() |
|
Menikmati makan tengah hari sekadar nasi beras merah, sup sayur dan ikan bilis tumbuk bersama anak keempatnya, Tha'er Baredhwan Sheikh Nasir. |
KATA Wan Aishah Wan Kamaruzzaman, kalau sering sakit perut, janganlah ambil mudah. Jangan anggap perut masuk angin atau tersalah makan dan sakit tersebut mungkin akan hilang selepas makan ubat atau menyapu perut dengan minyak angin.
Sebaliknya ambil usaha buat pemeriksaan darah di hospital. Bertanya dengan doktor sehingga betul-betul berpuas hati kerana sakit perut yang disangka perkara kecil berkemungkinan tanda-tanda kepada penyakit yang lebih serius dan kronik.
Demikian pesan Wan Aishah, yang ditemui di rumah kakaknya, Wan Fatimah di Kampung Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.
Berkemeja-T dan berseluar putih, Wan Aishah duduk di sofa ditemani anak keempatnya, Tha'er Baredhwan Sheikh Nasir, 25 tahun.
Walaupun menanggung derita sakit di kiri perut namun wajah wanita ini tabah menghadapi dugaan Tuhan.
Sesekali dia seakan-akan menampung tangannya pada bahagian perut yang sakit. Si anak yang juga dikesan mempunyai tumor di usus memandang ibunya dengan wajah polos namun penuh dengan kasih sayang.
Ibu tunggal enam anak ini tidak pernah menyangka bahawa dia akan diduga Tuhan dengan penyakit yang paling ditakuti oleh setiap insan, iaitu kanser.
Namun itulah takdirnya. Janji Tuhan tidak dapat dielak. Dia terpaksa menerima ketentuan Ilahi. Lebih menyayat hatinya, Tha'er turut disyaki mengidap kanser hati.
Diagnosis yang dibuat pada hari jadinya yang ke 52 tahun baru-baru ini menemukan dia dengan penyakit kanser kolon yang tidak pernah disangkanya.
Sambutan hari jadi bersama anak-anak yang sepatutnya dirai dengan penuh kesyukuran sambil memotong kek dan bermacam hidangan yang disediakan bertukar kepada kesedihan dan air mata.
''Masa itu perut saya rasa sakit sangat. Sudah tiga bulan saya rasa tak puas buang air besar. Najis pula bercampur dengan darah. Saya ingatkan buasir kerana saya memang mengidap buasir. Berat badan pun jatuh banyak walaupun selera makan macam biasa.
''Saya ke hospital dan setelah diperiksa, doktor memberikan ubat penahan sakit dan memasukkan air. Kata doktor, saya cuma mengidap buasir sahaja. Bagaimanapun saya masih terasa sakit.
''Doktor membuat pemeriksaan lanjut dengan menggunakan skop yang dimasukkan ke dalam perut. Dari situ, doktor mengesahkan terdapat tumor di usus besar yang sudah sepanjang 21 sentimeter.
"Kata doktor, pembedahan perlu dijalankan segera dan tidak boleh tangguh lagi. Bagaimanapun kos pembedahan di hospital tersebut (swasta) terlalu mahal dan tidak mampu bagi saya,'' cerita ibu tunggal enam anak ini.
Sambungnya, doktor kemudian mengesyorkan agar dia pergi ke Hospital Selayang kerana kosnya tidaklah terlalu mahal. Lagipun adik beradik dan saudara-mara tinggal di kawasan tersebut.
Tujuh hari dimasukkan ke hospital, berulang kali menjalani pemeriksaan x-ray, kajian demi kajian yang dilakukan oleh para doktor, akhirnya doktor mengesahkan Wan Aishah mengidap penyakit kanser kolon tahap empat, iaitu tahap akhir bagi penyakit kanser.
''Anak-anak yang tahu dulu sebab doktor tak cakap dengan saya. Dia bagi tahu anak-anak dan bertanya sama ada anak-anak hendak bagi tau saya atau dia yang bagi tahu. Saya nampak mereka berbisik-bisik dan mengesyaki sesuatu.
''Saya bertanya sendiri pada doktor dan katanya sel kanser dalam kolon saya sudah merebak. Pandangan terasa gelap, jantung berdenyut kencang dan tidak dapat digambarkan betapa sedih dan pilu hati. Dalam hati hanya terfikir berapa lama saya boleh hidup.
''Anak-anak mula menangis dan kami menangis bersama. Sudahlah mereka kehilangan bapa lapan tahun lalu akibat kanser tulang kini mereka terpaksa menghadapi ibunya yang juga menghidap kanser,'' ujar Wan Aishah lagi.
Menurutnya, di hospital dia diberikan morfin bagi melegakan kesakitan namun itu untuk sementara sahaja.
Doktor memujuknya agar dia bersetuju untuk dibedah segera. Begitu pun Wan Aishah enggan dan mahu keluar hospital untuk berubat secara alternatif.
Pada masa ini, dia masih mengamalkan perubatan alternatif menggunakan ubat-ubatan berasaskan organik yang tidak kurang mahalnya dan terasa perit kerana dia tidak bekerja.
Dalam tempoh pengubatan ini, dia perlu mematuhi pantang larang daripada segi makanan dan kehidupan seharian.
Wan Aishah langsung tidak boleh menyentuh susu, gula, ayam, ikan, daging, telur, kacang soya, kekacang dan sayur-sayuran kacang. Dia sanggup tidak merasai nikmat makanan asalkan cepat pulih.
Menu sehariannya bermula daripada pagi cuma bubur beras merah yang dimakan bersama ikan bilis goreng yang ditumbuk dan air suling, tengah hari pula nasi beras merah, sup sayur brokoli atau bayam atau sayur-sayuran berdaun hijau juga dengan ikan bilis tumbuk dan malam juga menu yang sama.
Penulis sendiri terasa teramat pilu melihat Wan Aishah menikmati makan tengah harinya. Mungkin kebanyakan kita hanya sanggup memakan makanan seperti ini untuk sekali hidangan sahaja tetapi Wan Aishah terpaksa menghadapinya tiga kali sehari dan setiap hari.
Telefon bimbit perlu dijauhi kerana mempunyai radiasi manakala jika mahu menonton televisyen atau mendengar radio, perlu berada di jarak 15 kaki. Yang menjadi teman setianya ialah Tha'er.
Kini Wan Aishah tinggal di rumah kakaknya yang kematian suami juga akibat penyakit kanser usus. Dialah yang banyak membantu dan memberikan sokongan moral kepadanya.
Anak-anak lain masih tinggal di rumahnya di Subang kerana dua orang anaknya masih bersekolah. Pada hujung minggu, saudara-mara dan adik beradik akan datang menjenguknya.
Kepada anda pembaca yang sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan Wan Aishah, bolehlah menghubungi 012-9133201.
IKLAN@UTUSAN
|