Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 29/10/2009
Tiada insiden buruk sidang Dewan Undangan Negeri Perak

Tiada insiden buruk sidang Dewan Undangan Negeri Perak

IPOH 28 Okt. - Tiada insiden buruk berlaku di luar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini semasa berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Malah, bilangan penyokong parti pembangkang yang hadir juga tidak begitu ramai iaitu kurang daripada 200 orang dan tiada perhimpunan haram mendesak supaya DUN Perak dibubarkan.

Keadaan itu jauh berbeza dengan sidang DUN sebelum ini yang penuh dengan pelbagai kekecohan sehingga ramai yang ditangkap.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati cuma terdapat beberapa insiden kecil sahaja tetapi ia tidak serius mana sehingga memerlukan pihak polis bertindak tegas.

Antaranya ialah insiden polis merampas jubah dan songkok Speaker yang digunakan secara tidak sah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar semasa beliau memasuki Bangunan SUK dengan memakai pakaian Speaker.

Polis terpaksa bertindak demikian kerana Sivakumar enggan menyerahkan barang kes tersebut walaupun telah diberikan notis untuk berbuat demikian semalam.

Ekoran itu, ADUN-ADUN pembangkang dilihat berpatah balik sehingga ramai menjangkakan mereka akan memboikot persidangan tersebut tetapi ia tidak berlaku.

Sebaliknya, mereka masuk semula ke dalam Bangunan SUK bagi meneruskan tugas pada sidang DUN Perak.

Semasa para pemimpin mereka menghadiri sidang DUN, para penyokong pakatan pembangkang juga tidak menimbulkan kekecohan besar di luar Bangunan SUK.

Mereka dilihat beberapa kali membuat provokasi terhadap pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan memaki hamun mereka selepas diarahkan keluar dari kawasan larangan tetapi polis berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Di samping itu, penyokong pembangkang juga tidak berpuas hati apabila polis meminta sebilangan rakan mereka tidak meneruskan solat hajat di kawasan meletakkan kenderaan di restoran India Muslim, kira-kira 50 meter dari Bangunan SUK.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pada sidang akhbar petang ini berkata, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan perjalanan sidang DUN kali ini.

''Nampaknya, rayuan polis kepada rakyat Perak supaya tidak berhimpun beramai-ramai dipatuhi.

''Tidak ramai yang datang dan yang datang pun tidak buat perkara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.

Beliau turut memuji anggota polis bertugas kerana menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi dengan tidak bertindak balas terhadap provokasi dan pelbagai makian oleh penyokong pembangkang.

''Ini negara demokrasi tetapi jangan sampai melampau dan apabila melakukan jenayah, kita akan ambil tindakan," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN