|
KOTA BHARU 26 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berharap mesyuarat Khas Pas Pusat yang diadakan Rabu ini dapat menyelesaikan masalah kepimpinan parti walaupun Muktamar Agung Khas (EGM) kemungkinan besar tidak akan diadakan.
Katanya, biarpun EGM tidak diadakan, mesyuarat khas tersebut sudah memadai baginya untuk menyampaikan hasrat supaya kemelut kepimpinan parti yang menggugat perpaduan dengan pakatan pembangkang dapat diselesaikan secepat mungkin.
''Saya sudah beritahu kepada dia (Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub), dalam Islam peringkat pertama ziarah kubur haram tetapi nabi kita ubah.
''Ubah tajuk tidak ada apa, saya sengaja buat begitu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai reaksi beberapa pemimpin Pas lain berhubung cadangan EGM itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut dan akan hanya memberikan kenyataan selepas mesyuarat itu diadakan.
Akhbar hari ini melaporkan, Pas tidak akan mengadakan EGM seperti yang dicadangkan oleh Nik Abdul Aziz, sebaliknya hanya akan mengadakan mesyuarat khas Pas Pusat bagi membincangkan isu parti.
Salahuddin memberitahu, isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana Nik Abdul Aziz sendiri yang mencadangkan forum itu ditukar kepada mesyuarat khas.
Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz yang dianggap 'ulama besar' Pas nekad mahu parti itu dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan melalui EGM walaupun ia akan menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.
IKLAN@UTUSAN
|