Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KOTA

ARKIB : 27/10/2009
Jangan jadikan masjid gelanggang politik - Sultan Selangor

Jangan jadikan masjid gelanggang politik - Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) menitahkan semua masjid di negeri itu tidak boleh dijadikan gelanggang politik yang boleh menyakitkan dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Baginda bertitah, adab ketika berada di dalam masjid perlulah dijaga sebaik mungkin dengan menghentikan percakapan berunsur cacian, memfitnah, menyakiti hati dan menghina orang Islam.

Titah baginda, masjid-masjid juga tidak dibenarkan menjadi rumah tumpangan atau tempat penginapan, sebaliknya hendaklah digunakan sebagai tempat untuk beribadat, pusat kegiatan agama Islam, penyebaran dakwah dan sebagai pusat sumber maklumat penduduk setempat.

"Penceramah dan mana-mana orang yang mengajar tentang agama Islam di masjid-masjid perlulah mempunyai tauliah.

"Jika tidak, apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," titah baginda dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, hanya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang boleh menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua masjid di negeri Selangor.

Baginda bertitah, setiap masjid hendaklah ditadbir oleh pegawai masjid, sebuah jawatankuasa kariah dan seorang nazir yang akan mengetuai segala hal pengurusan dan pentadbiran masjid.

"Dalam melaksanakan tugas mereka, pegawai masjid dan jawatankuasa kariah tertakluk kepada kawalan dan arahan daripada MAIS," titah baginda.

Selain itu, Sultan Selangor menitahkan mana-mana pihak yang bertindak menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari, melanggar dan mempertikaikan arahan atau perintah daripada baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri atau MAIS serta mufti adalah melakukan kesalahan.

Baginda bertitah, apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Baginda turut menitahkan dan berpesan kepada semua orang Islam khususnya orang Melayu supaya sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain.

"MAIS telah menyediakan saluran aduan kepada orang awam bagi melaporkan salah laku berkaitan penggunaan masjid antaranya melalui talian, laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS)," titah baginda.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN