|
![]() |
|
Kumpulan Kebudayaan Sri Rahmat membuat persembahan dikir barat tanpa henti di dalam kereta api Ekspress Timuran dari Singapura ke Tumpat, Kelantan selama 14 jam semalam. |
SINGAPURA 19 Okt. - Pelbagai cara dibuat untuk menempa nama dan terbaru, sebuah kumpulan dikir barat merancang mengadakan persembahan selama 14 jam tanpa henti dalam sebuah tren yang sedang bergerak.
Ia dilakukan Kumpulan Kebudayaan Sri Rahmat yang dianggotai 25 orang dalam usaha mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records.
Mereka mengadakan persembahan di dalam tren Ekspres Timuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang kini dalam perjalanan dari sini ke Tumpat, Kelantan.
Persembahan dimulakan sejurus kereta api tersebut berlepas pada pukul 6.50 petang ini untuk perjalanan sejauh 700 kilometer.
Tren tersebut dijadual tiba di stesen KTMB di Tumpat, Kelantan pada pukul 8.30 pagi esok.
Pengurus Pemasaran, Unit Pemasaran Strategik Perkhidmatan Bandar KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, ia bertujuan memartabatkan seni budaya Melayu itu yang sangat terkenal di Kelantan.
Beliau berkata, pada mulanya, Kementerian Pelancongan menjemput kumpulan dari Homestay Seterpa, Kota Bharu itu untuk mengadakan persembahan sempena Pameran Pelancongan Malaysia 2009 di Pusat Konvensyen Suntec di sini.
Bagaimanapun katanya, KTMB mengambil kesempatan daripada kehadiran mereka dengan mencadangkan agar membuat persembahan bersejarah ini.
''Alhamdulillah, cadangan itu diterima kerana ia sesuai dengan program mempromosikan pelancongan kereta api yang diperkenalkan kementerian berkenaan baru-baru ini,'' katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Pemasaran Homestay Seterpa, Azmahnorani Mat Jusoh yakin dengan kemampuan pendikir terlibat untuk mencatatkan rekod berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki.
Menurutnya, kumpulan yang dianggotai para pendikir berusia antara 19 hingga 61 tahun itu ditubuhkan pada 1990-an.
Katanya, kumpulan tersebut pernah meraih gelaran juara peringkat negeri selain sering dijemput mengadakan persembahan bersempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.
''Kami sudah tiga hari berturut-turut mengadakan persembahan di Singapura. Memang letih namun semangat mereka untuk melakukan sesuatu yang bersejarah tetap jelas kelihatan,'' ujarnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|