Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 09/10/2009
Dakwaan Pas tidak berasas

Dakwaan Pas tidak berasas

PORT DICKSON 8 Okt. - Dakwaan Pas bahawa ahli Pergerakan Pemuda UMNO melakukan serangan ke markas mereka termasuk mencederakan ahlinya menggunakan pedang Samurai dan batang besi tidak berasas sama sekali.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu semua merupakan propaganda parti itu untuk meraih simpati ekoran kempen mereka tidak mendapat sambutan.

Katanya, ini kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung dakwaan itu sebaliknya mereka hanya menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anggota Pas di seluruh negara untuk memberitahu kononnya kejadian itu berlaku.

"Tetapi tidak ada laporan polis. Bila tidak ada laporan polis bermakna ia sengaja diada-adakan untuk menakutkan pengundi," katanya pada sidang akhbar di pusat operasi Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini hari ini.

Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub pada sidang akhbarnya mendakwa terdapat ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang ala komando telah menyerang markas mereka termasuk menyerang menggunakan pedang Samurai dan batang besi.

Menurut Ahmad Zahid, Pas sanggup mereka-reka cerita seperti itu bagi menagih simpati pengundi.

"Pemuda UMNO tidak sejahat yang dituduh," katanya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berharap pengundi tidak terpengaruh dengan helah pembangkang itu.

Katanya, jika mahu menang pilihan raya sekali pun ia perlu dilakukan secara berhemah dan bukannya menimbulkan kebencian hingga boleh memecahbelahkan rakyat selepas pilihan raya.

"Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas yang mahu menjejaskan imej UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya ini," katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menjelaskan, beliau tidak menjanjikan apa-apa kepada anggota tentera ketika mengunjungi Institut Jurutera dan Elektrik Tentera Darat (IJED) dan Kor Armor baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau, dalam sesi dialog anggota terbabit bertanya mengenai pengisian Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

Antaranya kata beliau, mereka turut meminta diadakan kemudahan kolam renang, gimnasium, pusat tuisyen kemudahan Internet tanpa wayar dan sebagainya.

"Bukan saya yang umumkan. Saya tidak tawarkan untuk pancing undi pada pilihan raya," jelasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN