Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 06/10/2009
1Malaysia ada nilai ekonomi tinggi

1Malaysia ada nilai ekonomi tinggi

PARIS 5 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia mengukuhkan amalan kemajmukan sedia ada untuk memaparkan kepada dunia bahawa gagasan 1Malaysia yang dipraktikkan turut berorientasikan nilai ekonomi tinggi.

Berucap pada pertemuan dengan 450 pelajar Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata, ia bermakna dalam negara ini terdapat pelbagai elemen peradaban yang berpotensi membawa negara memainkan fungsi sebagai pintu masuk ekonomi ke Asia.

Tegasnya, menerusi sifat kemajmukan yang ada di kalangan orang Melayu, Cina dan India, maka ia dapat memudahkan urusan hubungan dua hala negara dengan China, India, dunia Melayu (Nusantara) dan Asia Barat.

''Ini merupakan pusat peradaban yang rapat dengan kita termasuk hubungkait dengan China. Tidak ada negara lain yang ada kelebihan strategik ini dan mengapa kita tidak transformasikan amalan strategik semulajadi ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan 450 pelajar Malaysia di Pavilion Dauphine Place du Marechal de Lattre Tassigny di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian sekiranya China yang didiami berbilion penduduk mengambil keputusan membeli minyak sawit negara, maka keuntungannya tentu akan dikecapi oleh para peneroka Felda dan pekebun kecil.

''Yang untungnya adalah rakyat Malaysia dan mungkin juga saudara-saudari anak para peneroka Felda. Jadi, kita bergantung kepada punca kemajmukan ini.

''Dan itu sebab 1Malaysia perlu menjadi mesej yang berkuasa iaitu 1Impian, 1negara dan 1bangsa," katanya.

Menurut Najib, beliau mahu melihat elemen kemajmukan itu sebagai satu kekuatan rakyat dan bukannya bebanan.

''Kita boleh terjemahkan soal kemajmukan ini bahawa setiap kaum di negara ini ada kekuatan dan jika digembeleng, ia boleh membentuk negara bangsa yang lebih tinggi," kata beliau.

Sementara itu, pada sesi dialog dengan pelajar, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan Malaysia Hall di sini.

''Saya tidak pasti dari segi keperluan fizikal untuk kemudahan ini. Bagaimanapun, keputusan ini (mewujudkan Malaysia Hall di Paris) tidak akan dibuat secara tergesa-gesa," kata beliau. - Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN