Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
LUAR NEGARA

ARKIB : 05/10/2009
Taufan Parma di Filipina, 17 terkorban

Taufan Parma di Filipina, 17 terkorban

MANILA 4 Okt. - Tanah runtuh akibat hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Parma telah meragut nyawa 13 orang mangsa di dua perkampungan di utara Filipina, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat taufan itu setakat ini meningkat kepada 17 orang.

Senior Superintendent, Loreto Espineli berkata, lima sekeluarga mati tertimbus dalam runtuhan rumahnya di sebuah kampung dalam wilayah Benguet, manakala tujuh lagi mati tertimbus apabila rumah mereka ditimbus tanah runtuh berhampiran bandar.

Para pegawai berkata, senarai awal mendapati empat orang terbunuh apabila Taufan Parma mula membadai negara ini semalam yang menyebabkan seluruh utara Filipina terputus hubungan.

Taufan Parma melanda negara ini, selepas lapan hari Taufan Ketsana membadai Filipina yang meragut nyawa hampir 300 orang dan menyebabkan banjir besar di Manila.

Taufan Parma hari ini menyebabkan kebanyakan kawasan di utara Filipina terputus hubungan dan bekalan elektrik, kata jurucakap kerajaan.

Sehingga kini tiga fasiliti disahkan mengalami kemusnahan termasuk bekalan tenaga dan talian telekomunikasi, manakala jalan-jalan yang dinaiki air semakin pulih, kata para pegawai.

Hampir 170,000 orang di beberapa kawasan yang dikenal pasti telah dipindahkan sebelum gelombang kedua taufan (Parma) melanda negara ini semalam.

Taufan Parma yang membadai wilayah utara di selatan Cagayan telah menerbangkan bumbung-bumbung rumah, menumbangkan pokok-pokok serta menyebabkan hujan lebat di seluruh negara.

Negara yang masih dibelenggu dengan bencana Taufan Ketsana yang meragut 293 nyawa dan menyebabkan banjir besar pada minggu lalu telah menyebabkan Filipina mengalami kerugian lebih AS2.5 juta (RM8.75 juta).

Pihak berkuasa berkata, taufan Parma yang melanda Filipina hujung minggu ini telah membadai pulau besar Luzon.

Pengesanan terakhir beberapa jam awal hari ini mendapati Taufan Parma berada pada jarak 70 kilometer di utara bandar raya Laoag bertiup pada kelajuan antara 120 hingga 150 kilometer sejam.

Taufan yang disertai hujan lebat hari ini menjadikan wilayah utara terus dilanda musibah sebelum ia beredar dari negara ini, kata jabatan kajicuaca kebangsaan.

Majlis Penyelaras Bencana Kebangsaan berkata, sistem telekomunikasi yang rosak teruk akibat taufan yang membadai wilayah Cagayan mula pulih, manakala ibu kota wilayah Tuguegarao dan beberapa bandar lain masih terputus bekalan elektrik.

Gangguan bekalan elektrik juga masih berlaku di bandar-bandar seluruh wilayah di tanah tinggi dan Abra, katanya.

Gabenor wilayah Aurora di utara Filipina, Bellaflor Angara berkata, kemusnahan sawah padi akibat ditenggelami air akan menjejaskan bekalan beras untuk beberapa bulan akan datang.

"Hujan lebat telah memusnahkan semua sawah padi. Kami sedang bekerja keras untuk memulihkan keadaan tetapi ia mengambil masa," katanya melalui siaran radio tempatan.

Menurutnya, tidak ada mangsa terbunuh di wilayah itu.

Hampir 700 buah keluarga di situ juga telah diarah berpindah ke pusat-pusat pemindahan sehingga keadaan pulih. - AFP

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN