|
![]() |
|
|
S EMASA Norfarhanis kecil dahulu, dia selalu melihat bapanya, Mohd. Fadzil Mohd. Ariff, 52, memegang kamera dan kadangkala menggantungkan ia di leher. Mereka keluar bersama untuk menangkap gambar di sekeliling mereka terutama pemandangan dan reaksi manusia. Selain itu, apa sahaja subjek indah di hadapan mata bapanya terus dirakam dengan baik.
Kesemua gambar itu juga dicetak dan ditampal pada sebuah buku khas sebagai bukti hasil karya dan khazanah pada masa depan. Buku yang sama itu juga kerap kali dibelek oleh Norfarhanis dan secara tidak langsung telah menimbulkan minat buat dirinya.
''Hanis tidak pernah ambil tahu sejak bila boleh tangkap gambar dengan baik. Tapi seingat Hanis, minat itu terbit semasa berusia 15 tahun ketika menuntut di Sekolah Menengah USJ 4, Subang Jaya.
''Hanis pinjam kamera ayah dan rakam gambar secara suka-suka. Kalau gambar itu tidak lawa, Hanis terus mencuba untuk menjadikan gambar yang lebih menarik. Pendek kata, sehingga Hanis benar-benar puas hati," kata anak bongsu dari dua beradik ini.
Gadis berusia 18 tahun ini juga berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama dalam usaha untuk mendapatkan sudut yang menarik dan memberi 1,001 jalan cerita dalam gambar yang dirakam Hanis.
Kamera Nikon D100 dan Nikon 200 milik Mohd. Fadzil yang juga jurutera di syarikat penerbangan MAS itu kini milik Hanis sekali gus memberi ruang yang lebih besar buat dirinya untuk menghasilkan gambar yang lebih baik.
Pelajar Diploma Pereka Dalaman tahun pertama Kolej Universiti SEGi di Kota Damansara, Petaling Jaya ini juga memilih potret kemanusiaan dan fesyen menjadi topik utama bagi memenuhi minat dalam bidang fotografi itu.
Baginya, kedua subjek itu mempunyai nilai tersendiri dan dia tidak pernah mengalah untuk mendapatkan hasil yang terbaik terutama bersaing dengan jurugambar profesional dalam bidang berkenaan.
Subjek
''Subjek fesyen dekat dengan hati Hanis manakala kemanusiaan melibatkan warna kehidupan di persekitaran kita. Kedua perkara itu seringkali memberi inspirasi dan membantu pengajian Hanis yang terlibat dalam seni reka ini kerana ia saling berkaitan.
''Selain itu, Hanis juga kerap membelek majalah luar negara dan laman web untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan gambar yang menarik kerana pembelajaran Hanis dalam bidang fotografi lebih kepada pengalaman sendiri," tambah penerima Tabung Biasiswa 8TV ini.
Hasil karya Hanis boleh dilayari di http://www.flickr.com/photos/neys atau blog miliknya di http://myartventure.wordpress.com.
IKLAN@UTUSAN
|