Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
UTARA

ARKIB : 03/10/2009
Pendakwah jangan campur ilmu agama dengan politik

Pendakwah jangan campur ilmu agama dengan politik

IPOH 2 Okt. - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengingatkan semua guru takmir atau pendakwah di masjid dan surau agar tidak mencampuradukkan antara ilmu agama dengan politik.

Pengarahnya, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor al-Hafiz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana tugas utama seramai 299 orang guru takmir itu adalah untuk memakmurkan masjid dan menyatupadukan ummah.

''Bukan semua orang boleh mengajar ilmu agama. Ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terpilih bahkan ada yang disuruh menuntut ilmu semata-mata untuk memberi dakwah kepada masyarakat.

''Jadi kalau pendakwah itu sendiri terlibat dalam politik maka ia akan menyusahkan banyak pihak. Pendakwah mestilah menjadi pemangkin kepada kesatuan berfikir dalam masyarakat," katanya di sini hari ini.

Guru-guru takmir yang dilantik oleh JAIPk itu mempunyai pelbagai latar belakang dan antaranya ialah bekas guru, pensyarah, hakim serta pegawai agama.

Sheikh Mohamah Nor berkata, jika semua kariah atau masyarakat bersatu padu dalam segala hal terutamanya dari segi pemikiran maka kehidupan keseluruhan ummah akan harmoni.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi masalah buat masa ini ialah unsur perpecahan lebih banyak daripada unsur perpaduan hingga menyebabkan kehidupan masyarakat kurang sehaluan.

''Sebab itulah guru-guru takmir ini perlu memainkan peranan mereka dengan baik. Walaupun jumlahnya masih tidak mencukupi namun usaha menyatupadukan pemikiran kariah itu sangat penting," katanya.

Menurut beliau, buat masa ini, pihaknya juga sedang berusaha untuk menyediakan sukatan pelajaran khusus buat kelas-kelas agama yang diadakan di masjid dan surau.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pembelajaran ilmu agama kariah tidak statik agar ia boleh berkembang secara teratur dan jelas.

''Kadang-kala saya lihat ilmu agama umat Islam masih berada di takuk lama. Dari dulu hingga sekarang masih lagi membicarakan tentang bab wuduk dan sembahyang.

''Jadi, JAIPk akan sediakan satu silibus khas supaya mereka yang minat belajar dapat meningkatkan ilmu agama masing-masing dari semasa ke semasa," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN