|
KUALA LUMPUR 25 Sept. — Malaysia berikrar menyumbang AS$250,000 (RM867,698) kepada Rayuan Dana Ramadan Gaza yang dilancarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) bagi membantu penduduk di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Anifah Aman membuat ikrar itu semasa pertemuannya dengan Pesuruhjaya UNRWA, Jeneral Karen Koning Abuzayd di ibu pejabat PBB di New York pada Rabu, demikian menurut satu kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.
Sempena sambutan ulang tahun ke-60 UNRWA, Anifah dalam perbincangannya dengan Abuzayd mengucapkan syabas kepada pertubuhan itu berikutan bantuan dan sumbangan yang diberikan sejak 60 tahun lepas bagi meringankan beban rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian ekoran konflik serta penjajahan berterusan Israel.
Anifah ketika ini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung ke-64 PBB. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|