Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 23/09/2009
Toleransi majoriti kulit putih di Aidilfitri

Toleransi majoriti kulit putih di Aidilfitri

TAHUN ini merupakan tahun ke-17 saya meraikan 1 Syawal di perantauan. Memang suasana hari raya di tempat orang berbeza dari tempat sendiri. Tetapi ia tetap meriah.

Saya sekeluarga menyambut Aidilfitri kali ini di Luton, sebuah bandar kira-kira 50 kilometer ke utara London.

Kami memilih untuk tinggal di Luton kerana kos sara hidupnya lebih rendah berbanding London. Tambahan pula ada perkhidmatan kereta api dari Luton terus ke stesen London Bridge yang betul-betul bersebelahan dengan pejabat saya. Maka Luton memang amat sesuai untuk kami.

Bilangan penduduk di Luton sekitar 185,000 orang. Sudah pasti majoriti penduduknya berkulit putih. Kaum minoriti hanyalah 35 peratus sahaja. Umat Islam di sini pula tidak sampai pun 15 peratus.

Luton tidak mempunyai universiti yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia. Maka bilangan warga Malaysia yang tinggal di Luton amat kecil, kira-kira 15 keluarga sahaja. Semuanya golongan pekerja.

Walaupun peratusan penduduk Islam di Luton tidak besar, bandar ini mempunyai banyak masjid. Setakat yang saya tahu terdapat 13 masjid di sini. Mungkin ada lagi yang saya tidak tahu.

Masjid-masjid di sini didirikan oleh komuniti Muslim sendiri. Komuniti Muslim terbesar ialah daripada Pakistan dan Bangladesh.

Mereka berusaha menubuhkan masjid dengan mengutip derma daripada masyarakat setempat dan membeli bangunan yang kemudiannya diubah suai menjadi masjid.

Alhamdulillah pihak berkuasa tempatan Luton, walaupun dikuasai oleh mereka yang tidak beragama Islam, amat menghormati keperluan tempat ibadah kaum minoriti ini. Permohonan untuk menubuhkan masjid baru biasanya diproses dengan telus dan cepat.

Penduduk Luton juga menghormati kami yang beragama Islam walaupun kami golongan minoriti.

Sepanjang enam tahun bermastautin di Luton, saya bersyukur kerana orang bukan Islam di sini mengamalkan akhlak yang boleh dikatakan selari dengan akhlak Islam apabila berurusan dengan keperluan ibadat.

Sejak beberapa tahun lepas, menjadi tradisi warga Malaysia di Luton untuk bertakbir dari rumah ke rumah pada malam Hari Raya. Tahun ini juga sama. Sebaik sahaja diumumkan bahawa 1 Syawal jatuh pada Ahad, saya menerima SMS menyatakan takbir akan bermula pada pukul 9 malam.

Walaupun hanya ada beberapa orang sahaja memimpin takbir dari rumah ke rumah, perasaan seronok jelas terbayang di wajah semua. Lebih-lebih lagi di kalangan anakanak. Gembira sekali mereka apabila berpeluang bertakbir.

Pelbagai irama dan cara sebutan ada pada malam itu. Seorang rakan mengatakan bahawa irama takbir kami bercampur-campur antara nada Melayu, Inggeris dan Bollywood!

Kami bertakbir sehingga kira-kira jam 1 pagi. Memang letih. Tetapi peluang beraya setahun sekali tidak mungkin mahu dilepaskan.

Pada pagi hari raya pertama, seperti biasa saya sekeluarga bersolat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Ghurabaa. Memang saya biasanya memilih untuk solat di masjid ini kerana bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris.

Masjid-masjid lain kebanyakannya menggunakan Bahasa Urdu atau Benggali. Rugi pula rasanya kalau pergi ke masjid-masjid itu kerana tidak faham khutbahnya.

Semasa berjalan ke kereta selepas habis solat, saya terserempak dengan satu keluarga yang memakai pakaian tradisional Afrika. Mereka bertanya arah jalan untuk pergi ke sebuah kelab milik Parti Konservatif cawangan Luton.

Rupa-rupanya mereka ini keluarga Muslim dari Ghana. Terdapat sekitar 100 orang Islam Ghana menetap di Luton. Mereka menyewa dewan di bangunan Parti Konservatif cawangan Luton untuk mengadakan solat Aidilfitri dengan khutbah berbahasa mereka.

Selepas sahaja solat, kami tidak pulang ke rumah. Sebaliknya ke rumah rakan-rakan yang mengadakan rumah terbuka. Rumah terbuka juga merupakan satu lagi tradisi warga Malaysia di sini.

Maklumlah, bukan ada saudara mara lain yang boleh diziarahi. Maka rakan-rakanlah yang menjadi pengganti. Anak-anak saya juga gembira dapat bermain dengan rakan-rakan sebaya.

Sepanjang hari saya dan keluarga bertandang ke rumah rakan-rakan di Luton. Menu jamuan pun tidak kurang hebatnya. Lemang, rendang, nasi himpit, lodeh, laksa, nasi minyak, sambal goreng, semuanya ada.

Jika hendak difikirkan mengenai kaum majoriti kulit putih di sini, memang sambutan Aidilfitri oleh umat Islam banyak mengganggu mereka.

Lalu lintas teruk tergendala sepanjang pagi hari raya pertama. Oleh kerana tempat letak kereta semuanya penuh, maka jemaah yang pergi bersolat sunat meninggalkan kereta ‘berlapis-lapis’ di tepi jalan.

Semasa kami bertakbir dari rumah ke rumah pula, gema takbir sudah pasti boleh didengari oleh jiran-jiran bukan Islam. Takbir itu berlarutan sehingga hampir jam 1 pagi. Saya yakin ada sahaja yang terganggu tidur mereka.

Kemudian, sepanjang hari raya pertama, kami bertandang pula ke majlis-majlis rumah terbuka. Mustahil kita boleh menyekat kanak-kanak yang gembira menyambut raya daripada membuat bising.

Maka sekali lagi kemeriahan syiar Islam ini mengganggu ketenteraman hari minggu kaum majoriti di Luton.

Tetapi semua gangguan oleh sambutan Aidilfitri ini tidak dimarahi oleh majoriti orang kulit putih di sini. Malah ada di antara mereka yang turut berkongsi kegembiraan.

Tidak sedikit yang turut serta dalam majlis-majlis rumah terbuka dan membawa buah tangan kepada tuan rumah.

Saya bersyukur kerana walaupun kami berada jauh dari kampung halaman, kami masih boleh menyambut Aidilfitri dengan meriah. Biarpun umat Islam tidak ramai bilangannya, kami tetap bebas untuk meraikan hari kebesaran agama.

Sifat toleransi dan muhibah merupakan antara akhlak mulia yang diajar oleh Islam. Pengalaman hidup di negara orang mengajar saya bahawa orang bukan Islam juga ramai yang mengamalkan akhlak ajaran Nabi junjungan kita.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah

Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org)

yang kini bertugas di London

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN