|

RANCANGAN pencarian pelapis dalam bidang pengacaraan, wartawan penyiaran dan penyampai berita iaitu Penyampai Ikon yang memulakan siarannya pada 22 Ogos lalu bakal tampil dengan sebuah slot khas Aidilfitri bersama Penyampai Ikon.
Menerusi slot tersebut, antara yang menarik dipaparkan ialah semangat muhibah antara pelbagai kaum bersama-sama berkongsi kemeriahan Aidilfitri.
Bersiaran selama kurang lima minit, slot tersebut bakal disiarkan pada hari raya ini (26 Oktober) menerusi siaran program mingguan Penyampai Ikon di TV2.
Selain menampilkan 17 peserta itu, kegirangan berhari raya di tambah seri dengan kehadiran pengetua mereka Yusanani Yushak.
Menterjemahkan semangat berhari raya, ia secara tidak langsung memaparkan tradisi berkumpul dan ziarah menziarahi sebagai amalan yang mampu mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kaum.
Peserta Penyampai Ikon yang terlibat ialah Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Norsila Talaha, 26; Siti Aisyah Baslie, 24; Cassandra Manja, 23; Noormadiana Kamaluddin, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; Mohamed Shahril Sarapudin, 21; dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.
Lapan lagi peserta ialah, Nur 'Izaati Abul 'As, 22; Hazel Anak Desmond, 26; Mohd. Sharkawi Mohd. Sallehuddin, 23; Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27; serta Khairul Faizi Dalaiil, 23.
Program 13 episod yang bersiaran setiap minggu itu dikendalikan oleh penyanyi Misha Omar.
Berkonsepkan rancangan realiti TV, apa yang menarik, pemilihan Penyampai Ikon tidak langsung menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Penerbit rancangan itu, Mohd. Yusni Mohamed Ali pada sesi rakaman slot tersebut baru-baru ini memberitahu, ia antara agenda yang dirancang bagi menyemarakkan lagi semangat berhari raya antara para peserta penyampai ikon.
"Kita kalau boleh cuba berkongsi kemeriahan dengan memaparkan bagaimana cara sambutan para peserta bersama pengetua mereka yang menyambut Aidilfitri.
"Selain sebagai tatapan peminat, ia juga bertujuan untuk berkongsi kisah berhari raya antara peserta dengan peminat.
"Biarpun dalam pertandingan, sambutan berhari raya tetap diteruskan oleh kesemua peserta tanpa ada perasaan bersaing antara mereka," kata Yusni.
Seramai lima peserta akan berentap pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang akan disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 14 November depan.
Menurut Yusanani yang juga bekas pembaca berita, juri-juri yang terlibat dalam mengadili Penyampai Ikon terdiri daripada kalangan wartawan tersohor, ahli akademik dan pengarah serta pelakon popular.
IKLAN@UTUSAN
|