Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 14/09/2009
Anak yatim, miskin dibawa beli-belah

Anak yatim, miskin dibawa beli-belah


Sebahagian anak yatim dari Teratak Nur Insan membeli persiapan hari raya di Pasar Raya Mydin USJ, Subang Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Sebanyak 100 orang anak-anak yatim dan miskin dari dua rumah kebajikan dibawa membeli pakaian hari raya di Pasar Raya Mydin USJ di Subang Jaya hari ini sebagai persiapan menyambut ketibaan 1 Syawal tidak lama lagi.

Dua rumah kebajikan yang mendapat perhatian Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu adalah Asrama Penyayang Nur Iman dan Teratak Nur Insan dari Setapak di sini.

Ketua Unit Khidmat Kemasyarakatan PPZ-MAIWP, Amran Hazali berkata, anak-anak yatim dan miskin itu diberi peruntukan sebanyak RM300 seorang untuk membeli kelengkapan hari raya yang diperlukan.

Menurutnya, wang berkenaan adalah sumbangan daripada badan-badan korporat dan orang perseorangan yang prihatin terhadap nasib golongan tersebut menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

''Kami mengadakan program seumpama ini bagi membantu meringankan beban kaum keluarga anak yatim dan miskin kerana pembelian kelengkapan hari raya memerlukan banyak wang.

''PPZ-MAIWP amat berbesar hati dengan bantuan badan-badan korporat dan orang perseorangan yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan program yang murni ini,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena program warga PPZ-MAIWP membeli belah bersama anak-anak yatim dan miskin di sini semalam.

Sementara itu, kumpulan anak-anak yatim dan miskin yang terpilih menyertai program itu terharu dengan sumbangan yang diberikan kerana ia cukup bermakna kepada mereka untuk menyambut hari raya.

Khairul Ikwan Soleh, 16, melahirkan rasa terima kasih dan syukur dengan sumbangan yang diterimanya itu.

''Saya amat gembira apabila berpeluang memilih sendiri pakaian dan kasut yang saya mahukan.

''Selalunya saya hanya memakai kasut dan baju raya yang sudah lama dan agak kecil kerana kesempitan hidup keluarga," kata penghuni Asrama Penyayang Nur Iman itu.

Sementara itu, Afifah Yusof, 12, berkata, rezeki yang melimpah ruah dengan pelbagai pemberian dan sumbangan membuktikan bahawa nasib anak-anak yatim dan miskin tidak dilupakan.

''Mungkin ini tidak dirasai oleh anak-anak di luar sana tetapi kami begitu bersyukur kerana dikurniakan rezeki sebegini.

''Walaupun setahun sekali tetapi semua sumbangan ini begitu bermakna bagi kami,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN