VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Ogos 2014 / 4 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
UTARA

ARKIB : 12/09/2009

Sajian istimewa udang kara


Mohd. Izham Gulam Ali memeriksa suhu air udang di kolam udang kara air tawar yang diternaknya. – UTUSAN/ FAIZAL ABU HASSAN


KANGAR 11 Sept. – Udang kara atau lobster merupakan makanan laut yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Pengusaha restoran makanan laut sering menjadikan udang kara sebagai sajian istimewa di restoran dan hotel-hotel berikutan isinya yang dikatakan lebih enak daripada udang biasa.

Udang kara juga sukar didapati dan ia dianggap makanan istimewa terutama di kalangan penggemar makanan laut.

Tidak hairan udang kara boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram bergantung kepada saiznya.

Di negara ini antara lokasi tangkapan udang kara ialah di sekitar Teluk Ramunia, Johor terutama ketika musim tengkujuh iaitu April sehingga Disember kerana spesies ini menjadikan waktu ini untuk membiak di sepanjang pesisir pantai.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat spesies udang kara yang boleh diternak dalam air tawar.

Perkara ini dibuktikan sendiri oleh bekas chef hotel lima bintang, Mohd. Izham Gulam Ali, 34, yang kini menjalankan ternakan udang kara air tawar secara komersial di Beseri di sini.

Menurut Mohd. Izham, udang kara air tawar atau nama saintifiknya Cherax Quadricarinatus merupakan jenis Red Claw iaitu sejenis krustasia yang hidup di sungai-sungai kecil di utara Australia dan Papua New Guinea.

Katanya, terdapat lebih 1,000 jenis udang kara seluruh dunia tetapi spesies ini merupakan yang paling senang dan berpotensi diternak.

‘‘Walaupun saiznya lebih kecil berbanding udang kara laut, tetapi isinya mendapat permintaan tinggi kerana lebih manis dan enak. Sebelum ini udang kara air tawar banyak dijadikan sebagai ternakan hiasan.

‘‘Kadar kolestrol udang kara ini lebih rendah berbanding udang kara laut dan ia dikaitkan sebagai makanan eksklusif kerana harganya yang agak mahal ,” katanya ketika ditemui di pusat pembiakan udang kara beliau baru-baru ini.

Mohd. Izham memberitahu, dia hanya menyedari potensi udang kara air tawar apabila makanan itu mendapat permintaan tinggi di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

‘‘Selepas membuat beberapa penyelidikan baru saya menyedari akan potensi ternakan udang kara air tawar kerana harganya boleh mencecah RM60 sekilogram mengikut saiz.

‘‘Mulanya saya menternak udang kara air tawar sebagai mengisi masa lapang, tetapi kini saya semakin meminati bidang ini apabila berjaya menghasilkan baka yang lebih baik melalui teknik pembiakan bersilang crossbreed,” katanya yang telah menceburi bidang itu selama tiga tahun.

Udang kara air tawar boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dengan berat sehingga 75 gram seekor dalam tempoh sembilan bulan.


Udang kara air tawar menjadikan paip PVC sebagai rumahnya.


Bagaimanapun, tempoh matang dan sesuai dijual adalah antara 15 sentimeter dengan berat kira-kira 55 gram.

Menurut Mohd. Izham, bagi sesetengah orang, mereka mempercayai bahawa udang kara air tawar merupakan makanan penguat tenaga batin bagi lelaki dan awet muda bagi wanita.

‘‘Tiada kajian khusus yang dilakukan mengenai kesahihan perkara ini tetapi apa yang nyata isi udang kara air tawar ini lebih enak dan manis.

‘‘Walaupun terdapat beberapa penternak di negara ini, tetapi ia masih belum mampu memenuhi permintaan hotel-hotel tempatan,” ujarnya yang memasarkan udang kara air tawar ternakannya ke hotel-hotel sekitar Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.

Mohd. Izham memberitahu, kaedah ternakan udang kara air tawar tidak terlalu rumit kerana ia merupakan spesies yang tahan lasak dan memakan apa sahaja termasuk daging, rumpai dan sayur.

‘‘Udang kara air tawar sesuai diternak di dalam kolam kanvas, akuarium dan kolam simen.

‘‘Udang jenis ini agak agresif dan boleh memakan spesies sejenisnya jika terlalu lapar. Sebab itu untuk memelihara udang jenis ini paip polivinil klorida (PVC) perlu digunakan sebagai tempat perlindungan,” ujarnya.

Katanya, dia bekerjasama dengan abangnya, Dr. Shamsinar Gulam Ali yang banyak membantunya membuat penyelidikan terutama membabitkan pembiakan.

‘‘Kami memilih baka-baka terbaik dan melakukan pembiakan silang agar baka yang diperolehi lebih berkualiti dan cepat membesar.

‘‘Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan bagi memperkenalkan ternakan udang kara air tawar termasuk mengadakan kursus dan jualan benih bermutu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin pasaran udang kara air tawar terbuka luas berikutan permintaan yang tinggi.

Mereka yang berminat dengan ternakan itu boleh menghubungi beliau di talian 012-4591350 atau melalui emel beserijaya@yahoo.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:26
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.