|
![]() |
|
Layla Mandi memperagakan produk kosmetik OnePure di kedainya bulan lalu. - AFP |
DUBAI 11 Sept. - Bagi wanita Islam, yang ragu-ragu untuk menggunakan krim kulit yang dikhuatiri mengandungi campuran alkohol dan sumber babi, Layla Mandi ada jawapan: produk kosmetiknya terjamin halal.
Artis solek dari Kanada yang memeluk Islam itu sedang memasarkan kosmetik yang dipanggil OnePure, yang menurutnya merupakan produk mewah bertaraf antarabangsa serta tidak mempunyai elemen-elemen yang ditegah Islam.
"Hampir semua produk kosmetik mempunyai campuran alkohol dan sumber babi, jadi umat Islam perlu menggunakan bahan yang benar-benar halal," kata Mandi.
Produk keluarannya, bagaimanapun belum lagi memasuki pasaran secara meluas, tetapi boleh dibeli di gedung-gedung dalam talian di Malaysia, Jordan dan Britian.
"Setiap orang Islam sudah tentu tidak mahu beribadah dan melalukan solat dengan bahan campuran babi ada pada badan mereka," kata Mandi yang berpakaian abaya berwarna hitam dan memakai tudung menutup rambutnya.
''Saya datang ke Asia Barat semata-mata untuk mendalami apa yang orang di sini mahukan. Kebanyakan mereka terkejut apabila saya memberitahu mereka bahawa kebanyakan produk penjagaan kulit dan kecantikan yang mereka gunakan mengandungi campuran babi," katanya.
Menurut Mandi, krim-krim pelembap, syampu, pelindung muka dan gincu semuanya mengandungi campuran lemak asid dan gelatin daripada sumber babi.
Bagi memastikan produk yang dihasilkannya benar-benar halal, Mandi turut membawa ahli dermatologi dan ahlia kimia bersama-samanya dan meminta mereka membuat akujanji: semua produk kosmetik dan pencuci kulit yang mereka hasilkan bebas daripada sumber alkohol dan babi.
OnePure dijamin bebas daripada campuran alkohol dan babi, katanya.
OnePure yang ditawarkan dalam bungkusan pelbagai bentuk dan daya tarikan mampu bersaing di pasaran global yang kompetitif.
"Saya mahu pastikan pembungkusan OnePure benar-benar kelihatan mewah dan menarik agar tidak ada orang yang memperkatakan 'saya mahu beli produk halal, tetapi pembungkusannya tidak menarik'," katanya.
Produk kosmetik berjenama halal yang pertama untuk pasaran Asia Barat itu telah mendapat perakuan daripada badan pensijilan halal di Malaysia.
Setakat ini, Mandi telah menjual produknya secara dalam talian dengan penerbangan Arab Saudi yang menjadi pelanggan pertamanya sejak Julai lalu, serta di butik kecantikan Souk al-Bahar di kompleks membeli belah dalam bangunan tertinggi di dunia, Burj Dubai. - AFP
IKLAN@UTUSAN
|