|
![]() |
|
Hishammuddin Tun Hussein mengesatkan air mata sewaktu rakaman takbir Hari Raya Aidilfitri bersama 200 banduan di Penjara Kajang, semalam. |
KAJANG 11 Sept. – Kementerian Dalam Negeri sedang mencari mekanisme yang sesuai bagi mengurangkan jumlah banduan warganegara asing yang kini merupakan 40 peratus daripada banduan di seluruh negara dengan rakyat Indonesia paling ramai iaitu 8,000 orang.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, banduan rakyat asing kedua tertinggi ialah Filipina sebanyak 1,200 orang.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawatnya bagi menyelesaikan masalah ‘kebanjiran’ banduan rakyat negara mereka.
‘‘Hubungan dua hala yang baik dengan negara-negara terlibat mungkin akan membolehkan program pertukaran banduan dilaksanakan.
‘‘Contohnya, rakyat Malaysia yang dipenjara boleh menjalani hukuman tersebut di sini, manakala banduan rakyat negara lain menghabiskan hukuman di negara asal mereka,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai majlis rakaman takbir Hari Raya Aidilfitri bersama 200 banduan dan kakitangan Penjara Kajang untuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Surau Penjara Kajang di sini hari ini.
Katanya lagi, perbincangan terbaru mengenai pertukaran banduan itu ialah dengan Indonesia.
Bagaimanapun, beliau berkata, ekoran masalah baru yang timbul dalam hubungan kedua-dua negara, ia tidak dapat dilaksanakan pada masa ini.
‘‘Ia diteruskan selepas masalah sekarang selesai, sebelum perkara ini dapat dimuktamadkan,’’ katanya.
Sementara itu, Hishammuddin mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penjara iaitu pencapaian dalam pemulihan dan kemahiran bagi banduan semasa berada di dalam penjara yang akan menjadi kekuatan kepada mereka untuk menjadi rakyat berguna selepas dibebaskan nanti.
Beliau memberitahu, setiap jabatan di bawah kementerian harus mempunyai KPI sendiri dan bagi Jabatan Penjara golongan sasar ialah banduan, kebajikan kakitangan dan pegawai serta infrastruktur penjara.
‘‘Kemudahan fizikal dan mengurangkan kesesakan di dalam penjara perlu dilaksanakan dan sekiranya memerlukan bantuan pihak ketiga bagi menyelesaikan masalah ini, ia perlu dibuat terutama menyelesaikan masalah terlalu ramai banduan rakyat asing.
‘‘Sistem parol juga dilihat mekanisme yang sesuai untuk mengurangkan kesesakan di dalam penjara di seluruh negara,’’ katanya.
IKLAN@UTUSAN
|