VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 07/09/2009

Ayai sudah jauh berubah


KELUARGA bahagia. Dari kiri Ayai bersama Azmeer Arshad, Aimie Nurin Asyiqin, Siti Hajar Ali dan Aimi Nadia.


BANYAK kenangan zaman kanak-kanak penulis dengan kumpulan Ilusi. Masih segar di ingatan melodi indah lagu-lagu cinta mereka seperti Segalanya Ku Terima, Puisi Cinta dan Suara Cinta yang popular sekitar lewat tahun 1980-an.

Paling tidak dilupakan apabila kemunculan vokalisnya, Ayai dengan bertopi, kot labuh dan bersarung tangan hitam hanya sebelah kiri di pentas Anugerah Juara Lagu 1989.

Gara-gara imej itu, Ayai dan Ilusi yang baru hendak menapak dalam dunia seni suara mendapat gelaran Inspector Gadget berikutan persamaan karakter dengan siri kartun penyiasatan popular pada waktu itu.

Namun kekuatan lagu Segalanya Ku Terima membolehkan kumpulan dari Johor itu menduduki tempat kedua selepas akur dengan kehebatan kumpulan Search menerusi lagu ‘berhantu’, Isabella.

Apa pun, kejayaan Ilusi itu amat bermakna apabila mereka berjaya mengenepikan cabaran sengit kumpulan-kumpulan rock popular seperti Wings yang mempertaruhkan dua lagu iaitu Misteri Mimpi Syakila dan Taman Rasyidah Utama, May (Sendiri), Gersang (Bersama Suara Hati).

Itu belum lagi persembahan hebat artis solo seperti Rohana Jalil dengan lagu Resahku, Norsheila Amin (Kad Ucapanmu), Shidee (Janganlah Engkau Menghancurkan), Nassier Wahab (Sekali Aku Jatuh Cinta) dan Ramlah Ram yang meraih tempat ketiga menerusi lagu Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi.

Realitinya, siapa boleh melupakan alunan merdu suara Ayai yang gemersik tetapi cukup lunak hingga dapat membuaikan perasaan.

Biarpun tidak tinggi orangnya, Ayai mampu meruntun ramai hati wanita yang jatuh cinta dengan pakej wajahnya yang agak tampan di sebalik rambut paras bahu.

Selepas berbelas tahun menghilang, kenangan Ayai dan Ilusi datang bertamu pada pertemuan yang tidak disangka.

Penulis tidak percaya, Ayai yang dahulunya kurus ‘keding’ kini berubah fizikal sekelip mata.

Puas mencari persamaan Ayai yang dahulu dan satu yang tidak pernah berubah hanya vokal lunaknya itu.

Sempat penulis dan jurugambar, Raja Jaafar Ali ‘mengenakannya’ menyanyi semula lagu-lagu popularnya.

Malah tanpa dipaksa, dia juga menyanyikan lagu Inang Bujang Dan Dara yang menjadi kontroversi buat Ilusi ketika beraksi kali kedua di pentas Anugerah Juara Lagu 1993.

Selepas tewas mengejut di tangan To‘ki menerusi lagu Seni Berzaman dalam kategori Irama Malaysia, khabar berita tentang Ayai bersama Ilusi tidak lagi ditemui di dada akhbar dan mereka terus hilang menyepi.


AYAI ketika masih menjadi penyanyi utama kumpulan Ilusi.


Masih lagi menyanyi

Terlalu banyak persoalan yang terpaksa dijawab oleh Ayai. Apa yang dilakukannya sekarang? Kenapa menghilang? Anak berapa orang? Kenapa boleh berisi macam ini?

Ayai hanya mampu tersenyum sambil disulami ketawa kecil.

“Saya masih menyanyi lagi. Kalau orang jemput, Insya-Allah ada kelapangan saya akan datang. Tetapi kalau orang tidak jemput menyanyi, macam mana hendak buat persembahan.

“Saya tidak pandai hendak telefon stesen TV atau radio bertanyakan tentang persembahan. Saya bukan jenis penyanyi macam itu,” jawab lelaki berusia 47 tahun itu yang kini menetap di kediaman baru di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, Johor sejak dua bulan lalu.

Ayai atau nama sebenarnya, Zahruddin Kamaruddin berkata, dia kini lebih selesa menjalani hidup berniaga kecil-kecilan yang tidak berkaitan langsung dengan dunia seni yang penuh glamor.

“Saya buka syarikat bersama kawan-kawan akhir tahun lalu walaupun ketika itu masih menyanyi di Hotel Hyatt (kini dikenali Thistle).

“Namun apabila kontrak menyanyi tamat di hotel itu awal tahun ini, saya terus bergiat secara serius dalam dunia perniagaan. Tapi syarikat pembinaan kecil-kecil sahaja,” kata Ayai yang malu-malu berkongsi cerita kerjaya barunya itu.

Dan apabila ditanya soalan wajib kenapa Ilusi tiba-tiba menghilang, suami kepada Siti Hajar Ali, 40, itu berkata, kumpulan seramai empat anggota itu tidak pernah menghilang malah jauh sekali merajuk dengan dunia seni.

Anak keenam daripada 11 beradik itu turut menjelaskan, dakwaan kononnya Ilusi hilang kerana merajuk akibat dihalang daripada memenangi kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu 1993 menerusi satu konspirasi.

Ini kerana gara-gara pencipta lagu Inang Bujang Dan Dara, M. Nasir, mengeluarkan kenyataan kontroversi ketika itu. Jelas Ayai, sebenarnya dia dan anggota lain, Abdul Rahman Talib, Md. Shah Osman dan Wan Sulaiman Wan Ismail yang membuat keputusan secara sukarela meminta pelepasan kontrak daripada syarikat rakaman, EMI (M) Sdn. Bhd. pada 1997.

Ini kerana katanya, selepas kali terakhir menghasilkan album solonya yang bertajuk Ayai Ilusi pada 1994, Ilusi terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk menghasilkan album baru.

“Syarikat rakaman tidak dapat memberi sebarang alasan kenapa mereka tidak dapat menghasilkan album baru. Kami pula malas hendak bertanya dan ketika itu Ilusi masih menyanyi di kelab di Johor Bahru.

“Ilusi berpendapat lebih baik sahaja menyanyi di Johor Bahru daripada terpaksa ulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk membuat promosi album baru yang belum tentu lagi akan meletup.

“Mungkin juga syarikat rakaman sibuk mengurus artis-artis popular lain seperti Awie, Febians yang dianggotai Bandi (Amuk) dan Azizul Khamis pada waktu itu,” katanya sambil memberitahu Ilusi bernaung di bawah ASP Records sebelum itu.

Peti suara koyak

Cerita ayah kepada tiga orang anak ini lagi, dia pernah mengalami insiden pahit apabila peti suaranya koyak akibat terlalu kerap menyanyi selain kesan pemulihan berhenti merokok.

Kata Ayai, dia langsung tidak boleh menyanyi selama enam tahun bermula 1996 namun bersyukur mendapat hikmah yang merobah haluan hidupnya pada hari ini.

Menurutnya, dia menimba pengalaman kerja di syarikat-syarikat besar seperti Ranhill Bhd. dan HCM Engineering Sdn. Bhd. dalam bidang pengurusan trafik dan keselamatan selain berkhidmat di Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Tambahnya, pada masa sama juga dia mula berjinak mempelajari selok-belok dunia perniagaan hingga berjaya memperolehi lesen kontraktor kelas F.

“Pada masa sama, berat badan saya semakin naik apabila tidak lagi menyanyi di waktu malam. Ini kerana sebelum menyanyi di kelab, saya tidak akan makan malam.

“Ditambah pula saya menghidap ulser perut yang tidak boleh perut kosong, keadaan fizikal terus berubah hingga ramai yang tidak mengenali saya,” katanya yang kini memiliki lilitan pinggang seluas 34 sentimenter (sm) berbanding dahulu seluas 26 sm.

Bercerita mengenai tiga permata hatinya, Ayai berkata, dia tidak menggalakkan mereka menjadi artis suatu hari nanti namun merestui apa jua karier yang mereka ingin ceburi selepas mendapat segulung ijazah.

“Bukan tidak menggalakkan tetapi kalau boleh, biarlah mereka mencari ilmu sampai ke peringkat yang paling tinggi.

“Bukan apa, saya bukannya mendapat pendidikan tinggi dan biarlah anak-anak yang berjaya dalam pelajaran kelak,” katanya penuh harapan kepada Aimie Nadia, 18, Aimie Nurin Asyiqin, 13, dan Azmeer Arshad, 9.

Produk Bintang RTM 1986

Ayai memulakan kariernya dalam bidang seni suara pada 1970 sebagai penyanyi radio RTM bersama Orkes RTM kawasan selatan di Johor Bahru di bawah pimpinan Allahyarham Taib Osman.

Selepas 10 tahun menimba pengalaman, Ayai mengorak langkah apabila menyanyi di eksekutif lounge di Jalan Meranti Merah, Tebrau bersama Hasnah Harun dan Allahyarham Harun Jaabar.

Pada 1985, Ayai mula mengenali rapat M. Nasir yang sehingga kini dipanggil Along menerusi kumpulan Anak-Anak Alam yang turut disertai Allahyarham Loloq, Keon, Siso dan Pyanhabib.

Pada masa sama, darah muda penyanyi itu membuak-buak untuk menyertai Bintang RTM namun komitmen tinggi bekerja di kelab membantutkan hasratnya.

“Pada waktu itu, saya sudah mengenali Ramlah Ram di RTM kerana dia sering menyanyikan lagu-lagu ghazal. Saya menyuruhnya pergi uji bakat dan rezeki Ramlah apabila dia layak ke peringkat akhir hingga dinobatkan juara Bintang RTM 1985.

“Setahun kemudian, saya nekad menyertai Bintang RTM hingga terpaksa membuat perjanjian dengan pengurus kelab yang memotong gaji saya jika kalah di peringkat awal.

“Saya berjaya hingga ke peringkat akhir dan mempertaruhkan dua lagu iaitu Suratan atau Kebetulan dan Kenangan Kecil. Rezeki tidak berpihak kepada saya apabila tewas kepada Noraliza Yusof walaupun menjadi pilihan juara di kalangan krew RTM pada masa itu,” cerita Ayai penuh semangat.

Mengakhiri perbualan kami yang ralit berjam-jam itu, Ayai ditanya kenangan manis dan pahit sepanjang bergelar anak seni.

Jawabnya, ketika meningkat remaja dia selalu berangan-angan untuk menjadi artis setiap kali mendengar suara penyanyi popular berkumandang di radio.

“Amat menyeronokkan apabila diberi peluang merakamkan album dan lagu-lagu itu menjadi popular pula di radio. Saya bersyukur kepada Allah SWT apabila dipilih daripada ribuan manusia yang hendak menjadi artis untuk dipenuhi impian itu.

“Kenangan pahit pun banyak apabila saya sentiasa berusaha mencari rezeki namun orang tidak menghargainya dengan membeli album cetak rompak,” katanya tersenyum penuh makna.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.