VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 03/09/2009

69 Komando tetap berbisa


kehadiran 69 Komando menjalani latihan di beberapa lokasi sekitar negara ini amat disenangi oleh penduduk setempat.


SENYAP dan tangkas. Memang sukar untuk digambarkan hanya dengan kata-kata kecuali melihat sendiri bagaimana mereka ini bertindak. Jika dalam sesuatu operasi sebenar, sudah banyak jasa dan kejayaan dicapai, namun perkara ini tidak dihebahkan.

Banyak kebolehan atau kehebatan yang boleh diperkatakan mengenai pasukan ini. Yang pasti, setiap anggota harus mahir dalam gerakan tempur.

Mereka juga harus menguasai ilmu peperangan di darat, laut dan juga udara. Kebolehan-kebolehan ini meliputi penggunaan senjata api serta peralatan canggih lain.

Dengan menguasai kawasan darat, laut dan udara, barulah mereka mendapat gelaran 'komando'.

Inilah antara kebolehan yang sentiasa disimpan dan ia menjadi rahsia 'peribadi' sejak penubuhan pasukan ini.

Pasukan elit ini juga diakui menyimpan seribu satu rahsia peperangan dan taktikal gempur. Ia hanya digunakan dalam operasi sebenar.

Pada masa sama, agak sukar juga untuk mengenali kebolehan serta kemahiran secara mendalam yang dimiliki oleh setiap anggota pasukan ini. Ini kerana, segala kebolehan dan kemahiran itu hanya diguna untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Di samping itu, selama ini mungkin ramai dari kalangan kita (orang awam) beranggapan apabila bergelar anggota pasukan elit atau komando, pasti orangnya sering mendabik dada, sukar senyum dan sebagainya.

Pendek kata, ada-ada saja tuduhan negatif dilemparkan termasuk anggota pasukan ini tidak mesra orang awam.

Namun, semua tanggapan sedemikian meleset sama sekali apabila kita dapat bertemu atau bersua dengan anggota-anggota ini.

Sebaliknya anggota pasukan ini yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mesra dan sebab itu kehadiran mereka di mana-mana sering disenangi oleh penduduk.

Setelah kita mengenali mereka ini, jangan terkejut apabila mendapati anggota komando ini sering mengamalkan sikap rendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk.

Itulah hakikat sebenar yang diamalkan dan dapat dilihat pada anggota-anggota 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) atau VAT 69.

Setiap anggota dan pegawai 69 Komando sejak mula menjejakkan kaki dalam pasukan ini, mereka sentiasa diingatkan supaya jangan sekali-kali meninggi diri atau menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya, mereka diminta sentiasa bekerjasama secara berpasukan dan menjaga kepentingan awam.

Hanya melalui kerjasama berpasukan sahaja dijamin dapat memastikan kejayaan dan kecemerlangan 69 Komando.

Mereka juga diingatkan sentiasa mengikut resam padi, makin tunduk makin berisi. Ilmu dan kemahiran yang ada bukan hak peribadi sebaliknya sebagai memikul tanggungjawab menjaga keamanan.

Inilah pegangan kuat yang sentiasa berada dalam setiap sanubari anggota dan pegawai 69 Komando.

Malah, mana-mana anggota yang didapati meninggi diri atau sombong ekoran kemahiran yang dimiliki, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka ini bukanlah ahli keluarga 69 Komando.

Jangan terkejut, ketika latihan asas lagi untuk kelayakan pemilihan sebagai anggota 69 Komando, setiap dari mereka akan dinilai dari segi sikap kerjasama, rendah diri, kesabaran, keberanian, ketekunan dan sebagainya.

Sebenarnya nilai-nilai inilah yang telah diamalkan sejak mula penubuhan pasukan tersebut hingga meletakkan pasukan ini sentiasa disenangi oleh masyarakat serta digeruni musuh.

Disebabkan keadaan ini juga, 69 Komando tidak pernah 'memukul canang' semata-mata hendak 'menghebohkan' setiap kejayaan yang dicapai mereka.

Bagi mereka, apa jua kejayaan, adalah milik bersama dan atas usaha serta kerjasama berpasukan.

Itulah prinsip dan amalan yang diterapkan pada jiwa dan sanubari setiap anggota 69 Komando yang secara langsung pasukan ini masih dapat bertahan hingga kini walaupun menghadapi pelbagai cabaran baru.

Ekoran itu, kehadiran anggota, pegawai serta jurulatih 69 Komando menjalani pelbagai bentuk latihan di banyak lokasi sekitar negara ini amat disenangi oleh penduduk setempat.

Latihan-latihan tempur, skuba, payung terjun, forensik, renang tempur, asas hutan dan sebagainya sebenarnya memberi banyak faedah kepada penduduk dan masyarakat tempatan.

Apa tidaknya, kehadiran 69 Komando itu secara langsung dapat memastikan kawasan-kawasan terbabit terhindar dari sebarang ancaman jenayah.

Memberi rahmat

Malah, penduduk tempatan secara tidak langsung akan merasai ketenteraman awam ekoran keadaan itu.

Dengan kata lain, kehadiran 69 Komando menjalani latihan menjadikan orang awam dapat lena tidur kerana yakin keselamatan mereka terjamin.

Begitu juga dengan latihan yang diadakan di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini apabila para jurulatih 69 Komando mengadakan latihan selam.

Kehadiran mereka ini secara tidak langsung memastikan perairan sekitar Pulau Perhentian dijamin selamat.

Pada latihan di Pulau Perhentian itu, para jurulatih terbabit menggunakan peralatan canggih selam, Full Range Oxygen Gas System (FROGS) dan Optima Closed Circuit Rebreather (OPTIMA-M) yang kini mula diperkenal dan digunakan oleh pasukan-pasukan komando dari negara-negara maju.

Apa yang menarik perhatian, kehadiran anggota-anggota 69 Komando di Pulau Perhentian itu sebenarnya sentiasa dinanti-nantikan oleh penduduk setempat.

Apa tidaknya, sebaik sahaja mereka hadir, penduduk tempatan di pulau itu termasuk para nelayan yang singgah sebentar di situ serta pelancong sentiasa mendapatkan rawatan perubatan dari anggota-anggota 69 Komando.

Kewujudan klinik sementara yang didirikan oleh pasukan 69 Komando secara tidak langsung memberi rahmat kepada penduduk dan pelancong.

Selain itu, anggota-anggota 69 Komando itu turut mengadakan aktiviti riadah bersama penduduk kampung ketika berada di Pulau Perhentian seperti sukan bola sepak dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama penduduk itu sering mendapat sambutan ramai.

Malah kalangan anggota dan jurulatih 69 Komando itu turut 'ringan tulang' membantu penduduk setempat dalam penganjuran sesuatu majlis.

Keadaan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan 69 Komando dengan penduduk, malah mengisi masa lapan kedua-dua belah pihak.

Itulah keistimewaan ekoran sikap mesra 69 Komando hingga membolehkan penduduk dan pelancong begitu menyenangi mereka.

Berbalik kepada latihan yang dijalani, seperti biasa, latihan melibatkan para jurulatih itu diketuai oleh Asisten Supritendan (ASP) Cawangan Para, ASP Andrew Gani anak Jimmy dan diselia oleh Sarjan Mejar Terry Raphael.

Sejak hari pertama lagi, memperlihatkan setiap jurulatih terbabit begitu tekun menjalani latihan tanpa mengenal erti penat.

Ini kerana banyak teknologi melibatkan kedua-dua alat itu perlu dipelajari dan dikuasai oleh mereka.

Selagi belum mahir atau masih belum dapat menguasai penggunaan peralatan FROGS dan OPTIMA-M itu, selagi itulah mereka akan terus berlatih menggunakannya.

Apa yang menarik, alat-alat itu turut diuji dalam pelbagai keadaan dan situasi termasuk dari segi kedalaman, arus kuat, malam dan siang hari dan sebagainya.

Inilah keistimewaan latihan 69 Komando yang bukan sahaja menguji setiap peralatan baru yang diperolehi, sebaliknya sasaran dan fokus utama pasukan itu ialah menguji kemahiran serta kemampuan setiap anggota dan jurulatih mereka sendiri.

Sepanjang latihan itu, para jurulatih sentiasa memperlihatkan 'kemesraan' terhadap anggota-anggotanya namun pada masa sama sentiasa memberikan 'kata-kata tajam' sebagai mengingati atau menegur setiap kesilapan yang dilakukan.

Teguran sedemikian amat penting kerana ia berkaitan dengan sesuatu kejayaan operasi.

Latihan di Pulau Perhentian itu juga memperlihatkan kemampuan 69 Komando dalam menjalankan gerakan secara senyap tetapi tangkas.

Tangkas dan senyap merupakan antara elemen penting yang bakal menentukan sesuatu kejayaan operasi itu.

Seringkali kehadiran anggota-anggota 69 Komando di dasar laut tidak disedari oleh mana-mana pihak termasuklah para penyelam awam yang melakukan aktiviti selam di Pulau Perhentian.

Inilah antara kebolehan serta kemahiran yang dimiliki oleh anggota-anggota 69 Komando.

Tidak hairanlah kalau mereka ini dianggap tetap 'berbisa' apabila melakukan operasi dan sesuatu gerakan bagi menjaga ketenteraman awam.

Menurut Andrew, latihan menggunakan peralatan FROGS dan OPTIMA-M itu berjalan lancar berkat disiplin tinggi yang dipamerkan oleh setiap jurulatih.

Malah, katanya, setiap jurulatih sejak awal lagi sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.

Jelasnya, mereka juga perlu menguasai teknologi dua peralatan selam berkenaan.

Hanya dengan menguasai teknologi kedua-dua peralatan tersebut, ia dapat menjamin keberkesanan latihan yang dilalui.

Sementara itu, Terry berkata, latihan itu dijalankan berterusan bagi membolehkan setiap jurulatih menguasai kemahiran dan penggunaannya.

Beliau menyatakan rasa puas hati dengan penguasaan setiap jurulatih tersebut yang tidak pernah mengenal erti penat.

Menurutnya, para jurulatih itu akan meneruskan latihan dan penguasaan teknologi peralatan berkenaan secara berterusan.

Untuk membolehkan setiap jurulatih 69 Komando menguasai teknologi FROGS dan OPTIMA-M, taklimat diadakan setiap kali sebelum latihan menyelam bermula.

Malah, taklimat yang diadakan itu juga membolehkan setiap jurulatih bertanyakan sebarang kemusykilan yang timbul selain berbincang dan berkongsi pandangan.

Malah, setiap kali selesai latihan menyelam, Andrew dan Terry akan menyatakan apa jua bentuk kelemahan atau kesilapan yang dilakukan oleh para jurulatih.

Keadaan ini membolehkan setiap jurulatih membetulkan kesilapan dan secara langsung meningkatkan lagi kemahiran setiap anggota.

Ilmu yang diperolehi oleh para jurulatih selam itu dalam penggunaan FROGS dan OPTIMA-M akan diserapkan pula kepada anggota-anggota lain dalam 69 Komando.

Dengan penggunaan dan latihan peralatan FROGS dan OPTIMA-M ini, diyakini pasukan 69 Komando bukan sahaja dapat bersaing dengan pasukan keselamatan negara-negara maju, malah meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Yang lebih penting, kemahiran dan ilmu dimiliki itu menyakinkan orang awam bahawa 69 Komando bukan sahaja tangkas dan senyap, malah pasukan elit itu tetap berbisa dalam memastikan keharmonian ketenteraman awam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.