VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 Oktober 2014 / 8 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 31/08/2009

Tujuh teori kepimpinan tokoh ternama

TAJUK: Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih

PENULIS: Prof. Khairil Annas Jusoh

PENERBIT: Kasturi Jingga Corporation Sdn. Bhd.

ISBN: 978-983-44810-0-1

PENGULAS: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

TIDAK dapat dipastikan, terdapat berapa banyak teori kepimpinan yang sudah diketengahkan oleh pengkaji bidang ini sehingga kini.

Lazimnya dalam perbincangan mengenai aspek kepimpinan, tiga teori utama sering sering dirujuk dalam menjelaskan bagaimana bermulanya sesebuah kepimpinan.

Teori-teori itu ialah Teori Keturunan (Heriditary Theory), Teori Psikologi (Psychological Theory) dan Teori Ekologi (Ecological Theory).

Namun sesuatu yang pasti, dalam setiap kelahiran dan peninggalan seorang pemimpin dunia yang diiktiraf sumbangannya kepada peradaban sesebuah bangsa, maka akan lahirlah teori kepimpinan yang cuba disesuaikan dengan senario kepimpinan pemimpin tersebut.

Kerana itu juga, teori-teori kepimpinan itu saling berkait rapat dan dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya era kepimpinan pemimpin berkenaan, bangsa, budaya, ideologi, pengalaman hidup dan banyak lagi.

Namun dalam setiap kajian mengenai teori kepimpinan itu, ia berkongsi satu matlamat atau proses yang sama iaitu untuk mempengaruhi dan mengajak orang lain dalam mencapai sesuatu matlamat.

Ia dicapai oleh seseorang pemimpin hasil gabungan unsur kekuatan diri, kekuasaan dan kemudahan yang dimiliki serta ciri-ciri keperibadian dan kemampuan sosial yang ada.

Dalam teori kepimpinan juga, apa yang kebiasaannya cuba dirungkai ialah dua persoalan utama. Iaitu kenapa seseorang itu menjadi pemimpin dan apa yang membezakannya dengan pemimpin yang lain.

Buku ini juga tidak bergerak jauh daripada dua landasan persoalan utama itu dalam mengangkat teori kepimpinan sebagai intipati perbincangan.

Tujuh teori kepimpinan diketengahkan dan disorot oleh penulisnya menerusi kaca mata pemikiran, pemahaman dan perbandingan sesuai dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki.

Teori kepimpinan itu ialah Teori Lelaki Unggul, Teori Sifat dan Teori Karisma, Teori Transformasi serta Teori Tingkah Laku.

Teori lain termasuk Teori Gaya, Teori Kontigensi dan Situasional, Teori Transaksi dan Teori Kepimpinan Menurut Perspektif Islam.

Sebagai seorang dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman kerjaya yang cukup tinggi, teori-teori kepimpinan barangkali sudah terlalu sebati dalam diri penulis buku ini.

Khairil Anas mewakili tokoh muda yang telah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang dan disiplin.

Dengan latar belakang pendidikan yang kukuh, beliau mencipta nama dalam bidang kesarjanaan, undang-undang, korporat dan politik selain banyak terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau kini juga merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain diberi penghormatan dan kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan utama dalam bidang akademik.

Antaranya sebagai Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Kanan Kehormat di Institut Pemikiran Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Najib sendiri berbesar hati menulis kata-kata pengantar atau perutusan untuk buku ini dengan turut menyelitkan sebuah sajak yang dinukilkan beliau sendiri bertajuk Harapan.

Umumnya, apa yang dibincangkan menerusi penerbitan buku pertama daripada empat siri evolusi kepimpinan ini merupakan sesuatu yang lazim dalam konteks perbincangan teori kepimpinan itu sendiri.

Ia seolah-olah membawa pembaca memahami dan mengenali teori-teori kepimpinan yang barangkali tidak banyak diangkat dan diperbincangkan oleh khalayak dewasa ini.

Pentingnya pemahaman mengenai teori kepimpinan ini kerana ia boleh dijadikan panduan dalam menyusun gerak kerja supaya lebih berkesan.

Ia juga memberikan asas dalam menentukan corak kepimpinan yang serba kompleks terutamanya dalam berdepan dengan cabaran kepimpinan pada zaman yang serba maju ini.

Dalam bab perbincangan Teori Sifat dan Teori Karisma misalnya, penulis memperkenalkan pembaca kepada pemula teori klasik Teori X dan Teori Y iaitu McGregor.

Meskipun sudah berusia lebih daripada 50 tahun, kedua-dua teori itu tetap popular dalam memperkatakan tentang aspek kepimpinan.

Malah sehingga kini, ramai pemimpin menilai apa yang dikatakan pemimpin yang baik dan buruk itu berdasarkan Teori X dan Teori Y.

Menerusi bab-bab perbincangan teori kepimpinan lain juga, beberapa nama pengkaji dan pemula teori lain dapat ditemui.

Antaranya James Burns dan Bernard M. Bass yang popular dengan asas Teori Transformasi, David McClelland iaitu pengkaji awal Teori Sifat dan Fred Fiedler pengkaji Teori Kontigensi.

Bagaimanapun di sebalik kupasan mengenai teori-teori asal kepimpinan itu, penulis tetap mencuri ruang untuk memuatkan pandangan dan berbahas dalam ruang lingkup pengamatan sendiri.

Namun apa yang paling mencuri perhatian menerusi buku ini sebenarnya ialah kehadiran tokoh-tokoh ternama sepanjang zaman yang menghiasi kebanyakan helaian muka surat buku ini.

Sekurang-kurangnya terdapat 24 orang individu berpengaruh ditonjolkan oleh penulis berserta dengan penerangan ringkas dalam bentuk nota kaki. Antaranya ialah kelima-lima bekas Perdana Menteri Malaysia serta Najib sendiri.

Pemimpin-pemimpin lain termasuk pengasas Fasisma, Benito Amilcare Andrea Mussolini, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston, Leonard Spencer Churchil, bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino dan Pengerusi Microsoft, Bill Gates.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana pemimpin-pemimpin yang ditonjolkan pada bab yang berbeza itu menepati ciri-ciri teori kepimpinan yang dibincangkan memandangkan tiada pengiktirafan rasmi diberikan.

Namun adalah diyakini, penulis menerusi pengamatan dan kajian beliau, dapat melihat ciri-ciri kepimpinan pemimpin tersebut yang membolehkan mereka diangkat sebagai tokoh bagi setiap teori kepimpinan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:06
Isyak 8:15


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.