|
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw menjelaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebabkan pergolakan hidup beliau sendiri.
Beliau berkata, Mohd. Radzhi tiada asas yang kuat untuk berpaling tadah daripada pakatan pembangkang.
Tegas beliau, tindakan wakil rakyat berkenaan juga bukan disebabkan kerjasama dalaman pakatan pembangkang goyah sebaliknya ia lebih kepada bersifat peribadi.
"Setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya, jadi kenapa beliau perlu berpaling tadah? Adakah tindakan beliau ini dapat menyelamatkan negara?
"Saya fikir, mungkin beliau sendiri yang mempunyai masalah peribadi sehingga meninggalkan PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan tindakan keluar parti oleh ADUN berkenaan akibat pergolakan dalaman pakatan seperti laporan akhbar baru-baru ini.
Seng Giaw menjelaskan, tiada sebarang pergolakan politik atau masalah dalaman dalam pakatan pembangkang malah kerjasama antara DAP, PKR dan Pas sangat mesra.
Ujar beliau, hanya pihak media yang menghebahkan cerita kononnya pakatan pembangkang sedang menghadapi pergolakan politik atau kerjasama mereka semakin goyah.
"Bagi saya, ini lebih kepada cerita dongeng yang direka-reka," ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, tidak sepatutnya wujud pihak tertentu mengugut dan menakut-nakut seseorang sehingga berlakunya kejadian keluar parti.
"Saya menyeru pihak yang berkaitan agar berhenti melakukan perbuatan demikian," katanya.
Jelas beliau, tindakan keluar parti oleh ADUN Lunas itu adalah tindakan perseorangan yang kelihatan tertekan.
Beliau turut mengakui tiada kekecohan berlaku di dalam pakatan pembangkang.
IKLAN@UTUSAN
|