|
ALOR SETAR 25 Ogos - Pakatan pembangkang tidak akan membincangkan mengenai calon pengganti Mohd. Radzhi Salleh sebagai Exco kerajaan negeri sehingga Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memutuskan mengenai status jawatan itu.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kasim berkata, meskipun portfolio yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu merupakan kuota bagi wakil rakyat daripada parti berkenaan, namun sebarang perbincangan tidak boleh mendahului keputusan Sultan Kedah.
Katanya, jika Tuanku Abdul Halim berkenan dengan permohonan melucutkan Mohd. Radzhi daripada jawatannya, baru pihaknya boleh berbincang dengan Menteri Besar mengenai calon pengganti.
"Kita tidak boleh mengambil sebarang keputusan selagi Tuanku Abdul Halim tidak memberikan jawapan kerana kedudukan Mohd. Radzhi sebagai Exco negeri bergantung kepada pertimbangan Sultan Kedah.
"Perlu melihat keputusan Tuanku dan selepas itu baru boleh berbincang mengenai langkah seterusnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam menghadap Tuanku Abdul Halim bagi menyerahkan surat memohon perkenan supaya Mohd. Radzhi yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas digugurkan daripada jawatan Exco.
Tindakan itu dibuat berikutan Mohd. Radzhi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri bukan lagi mewakili komponen pakatan pembangkang di negeri ini.
IKLAN@UTUSAN
|