|
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyambut baik keputusan menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor semalam.
Beliau berkata, ia suatu keputusan yang bijaksana ketika banyak perkara negatif dilemparkan ke atas sistem perundangan syariah negara ekoran kes itu.
Pada masa sama, Shahrizat kesal dan terkilan dengan laporan media antarabangsa berhubung kes itu yang memberi gambaran pentadbiran syariah di Malaysia menzalimi golongan wanita.
"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas keputusan menangguhkan pelaksanaan hukuman ke atas Kartika semalam. Ia adalah keputusan bijaksana.
"Namun saya terkilan laporan media asing menggambarkan seolah-olah pentadbiran undang-undang syariah di Malaysia zalim terutama kepada wanita. Sedangkan ini adalah satu kes saja," katanya.
Shahrizat berkata demikian kepada pemberita ketika pelancaran sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Bulan lalu, Kartika Sari Dewi, 32, dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah minum arak di sebuah pusat hiburan di Cherating dua tahun lalu.
Namun, semalam Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi bagi menghormati kemuliaan Ramadan.
Tambah Shahrizat, ramai yang berpendapat hukuman maksimum yang dijatuhkan ke atas Kartika Sari Dewi adalah keterlaluan.
"Saya nampak daripada isu-isu yang dibincangkan terutama melalui media, apa yang dipertikai ialah hukuman maksimum terutama hukuman sebat ke atas seorang wanita oleh hakim mahkamah syariah tersebut.
"Kartika Sari Dewi mungkin ada sebab untuk tidak membuat rayuan atau semakan dan itu hak beliau. Saya dan kerajaan tiada hak untuk buat yang lain kerana kami ada hak dan batasan," jelasnya.
Jelas Shahrizat, apa yang dipersoalkan banyak pihak ialah mengapa Kartika Sari Dewi sendiri tidak membuat rayuan dan tidak memohon untuk semakan.
"Mungkin dia begitu trauma dengan kes berkenaan dan tidak mendapat nasihat bahawa beliau mempunyai jalan lain untuk mendapatkan keadilan," katanya.
Shahrizat turut menafikan bahawa kes itu merendahkan martabat mahkamah syariah di negara ini.
"Namun saya mendapat banyak rungutan dan aduan mempersoal adakah hukuman dijatuhkan sebegitu rupa hanya kerana Kartika Sari Dewi adalah seorang wanita.
"Ini bukan masa untuk mengajar seorang wanita. Isu ini bukannya sebat sampai mati, sebat sampai berdarah atau sebat begitu saja. Tidak,'' katanya.
Jelas beliau, ia adalah isu keadilan sama ada hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika Sari Dewi adalah adil dan saksama mengikut prinsip syariah.
"Jika semua langkah sudah dibuat dan Kartika Sari Dewi kekal dengan pendiriannya maka itu adalah haknya. Namun kita tidak mahu ia jadi kes rujukan," katanya.
Shahrizat juga enggan mengulas tentang khabar angin bahawa beliau akan membentangkan satu kertas khas pada mesyuarat Kabinet esok mengenai isu berkaitan kes Kartika Sari Dewi.
IKLAN@UTUSAN
|