|
![]() |
|
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2009 di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Golongan wanita di negara ini telah merasakan diri mereka dipinggirkan atau urusan mereka diremehkan oleh mahkamah syariah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan dan aduan mengenainya.
"Malah ramai wanita merasakan diri mereka dijadikan mangsa dan diaibkan hanya kerana mereka seorang wanita. Dijadikan tontonan kononnya untuk ditunjuk ajar atau contoh kepada masyarakat umum.
"Justeru, saya ingin menggesa pihak berkuasa untuk menentukan bahawa sistem perundangan syariah dan implementasinya mencerminkan semangat dan nilai Islam sebenarnya terutama dalam kes-kes syariah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Shahrizat menambah, kes yang patut diutamakan membabitkan wanita dan keluarga ialah nafkah, hak penjagaan mahupun perceraian yang mesti dilaksanakan dengan cepat dan adil.
"Hukum syarak adalah untuk mencegah manusia, memberi pengajaran, keinsafan dan hidayah bukan eksploitasi maruah individu.
"Allah menyeru kepada jalannya secara hikmah, bijaksana dan baik," katanya.
Shahrizat menambah, beliau menyedari bahawa bukan mudah hendak mentadbir undang-undang.
"Hanya kerana nila setitik atau satu kes saja akan rosak susu sebelanga, mungkin mencemarkan nama baik negara dan memberi imej negatif di pentas dunia," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|