Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SUKAN

ARKIB : 12/08/2009
Berakhirnya era beregu veteran

Berakhirnya era beregu veteran


Chan Chong Ming (depan) dan Chew Choon Eng memberi tentangan sengit kepada pasangan Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato tetapi akur dengan kekalahan 21-18, 15-21, 16-21 pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Hyderabad, semalam. - AFP


KUALA LUMPUR - Penampilan terakhir beregu veteran Malaysia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada Kejohanan Badminton Dunia berakhir dengan cara menyedihkan apabila tersingkir dalam aksi pembukaan masing-masing di Hyderabad, India semalam.

Pernah bergelar antara beregu terbaik dunia suatu ketika dulu, kedua-dua pasangan senior itu nyata tidak lagi segagah dulu selepas tumbang di tangan lawan dari Amerika Syarikat dan Jepun.

Bagaimanapun hari kedua Kejohanan Dunia diceriakan oleh pasangan muda negara, Koo Kien Keat-Ng Hui Lin yang muncul pemain Malaysia pertama melangkah ke pusingan ketiga dalam beregu campuran.

Malah, seorang lagi pemain veteran negara, Wong Choong Hann juga berjaya melepasi halangan pertama tanpa banyak masalah.

Semalam, Tan Fook-Wan Wah memberi tentangan sengit kepada juara dunia 2005, Howard Bach-Tony Gunawan sebelum tunduk 15-21, 21-18, 21-23.

Bekas pasangan No. 1 dunia, Chong Ming- Choon Eng juga memberi cabaran sengit sebelum tunduk 21-18, 15-21, 16-21 kepada beregu Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato.

Bagaimanapun sandaran sebenar Malaysia dalam beregu lelaki diletakkan kepada dua pasangan utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif yang akan turun ke gelanggang untuk saingan pusingan kedua hari ini.

Cabaran Malaysia hari ini turut dipikul pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (menentang Ola Fagbemi dari Nigeria) dan beregu wanita No. 1 dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang akan bertemu Emelie Lennartsson-Emma Wengberg dari Sweden.

Sementara itu naib juara dunia 2003, Choong Hann berjaya mengelak daripada kejutan awal selepas mudah menewaskan Ville Lang dari Finland 21-7, 21-10 untuk menempah pertemuan dengan pemain Estonia, Raul Must.

Kien Keat-Hui Lin pula mengetepikan pasangan Belanda, Ruud Bosch-Paulien Van Dooremalen 21-19, 21-14 untuk melanglah ke pusingan ketiga, bertemu pasangan No. 2 dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir dari Indonesia.

Terdahulu, beregu muda negara itu, yang hanya bergandingan buat kali pertama dalam acara beregu campuran pada Kejohanan Dunia menumpaskan pasangan Taiwan, Hsieh Yu Hsing-Chien Yu Chin 21-15, 21-14 di pusingan pembukaan.

Penampilan sulung buat tiga lagi wakil Malaysia, Lydia Cheah, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Ong Jien Guo-Chong Soon Chin berakhir dengan pengalaman berguna dikutip pemain-pemain muda negara itu.

Lydia tumpas 6-21, 18-21 kepada pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk, Peng Soon-Liu Ying kalah 16-21-12-21 kepada Zheng Bo-Ma Jin dari China, manakala Jien Guo-Sook Chin tunduk 11-21, 20-22 di tangan He Hanbin-Yu Yang juga dari China.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN