VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 11/08/2009

Antara dua dunia Siti


AKSI Siti sewaktu merakamkan lagu terbaru untuk album Tahajud Cinta baru-baru ini.


DALAM diam tak diam, sudah lima tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai Duta Yayasan Jusco Malaysia di bawah kempen With All Our Hearts yang diinisiatifkan oleh AEON Co. (M) Berhad (AEON).

Sepanjang tempoh itu jugalah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengakui, beliau telah memperolehi pengalaman yang cukup berharga.

Peranan Siti sebagai duta yayasan itu bukan sekadar mahu melunaskan tanggungjawab sosialnya sebagai seorang artis.

Sebaliknya, jelas Siti, ia memberi peluang kepadanya untuk menyelami hati golongan yang kurang bernasib baik serta membantu mereka yang memerlukan.

"Apabila kita melibatkan diri dengan kerja-kerja amal sebegini, setidak-tidaknya ia mampu menyedarkan kita bahawa bukan semua manusia memiliki tuah mahupun nasib sama seperti kita.

"Secara jujur dan ikhlasnya saya memberitahu, saya cukup gembira kerana dapat melibatkan diri dengan kerja-kerja amal sebegini dan ia turut memberikan kepuasan kepada saya.

"Lebih-lebih lagi apabila melihat kegembiraan terpancar di wajah masing-masing membuatkan hati saya begitu seronok dan puas apabila dapat menyanyi dan meluangkan masa bersama mereka," jelasnya penuh berhemah.

Siti ditemui pada majlis pelancaran dan penyerahan beruang mainan sempena ulang tahun ke-25 AEON di Jusco AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan AEON, Nagahisa Oyama dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporatnya, A. Rashid Adam.

Menyambung bicara, AEON katanya, cukup memahami tugasnya sebagai seorang artis yang begitu padat jadualnya selain menjalani hidup sebagai seorang isteri.

Kerana faktor itulah, dia begitu selesa untuk terus menjalin kerjasama dengan AEON seandainya diberi peluang berbuat demikian apabila kontraknya tamat hujung tahun ini.

"Alhamdulillah, setakat ini saya menjalankan tanggungjawab sebagai duta dengan baik apabila turun padang untuk semua aktiviti mereka.

"Insya-Allah, kalau diberikan peluang untuk menyambung kontrak, saya tidak akan teragak-agak untuk menerimanya," ujarnya yang memiliki badan amalnya sendiri iaitu Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Berbanding sewaktu zaman sebelum berkahwin, popularitinya itu menyebabkan banyak pihak dan syarikat berlumba-lumba mahu menggunakan khidmatnya sebagai duta mahupun jurucakap.

Namun selepas berumah tangga, peluang itu bagaikan tertutup buatnya. Tambahan pula, dengan imejnya itu membuatkan ramai yang menganggap Siti telah menutup pintu rezekinya sendiri.

Dalam nada tenang, penyanyi lagu Sekian Lama dan Di Kayangan Kita ini memberitahu, masyarakat berhak untuk memberikan pandangan mereka sendiri.

Kata Siti, keadaan dirinya berbanding sewaktu zaman anak dara sudah jauh berubah dan apatah lagi dengan tanggungjawab yang dipikulnya kini membuatkannya perlu menjadi lebih selektif.

"Saya perlu membahagikan tugas sebagai seorang artis dan isteri. Kalau dulu, bolehlah saya buat banyak kerja dalam satu-satu masa namun sekarang sudah berbeza.

"Saya harus memberikan fokus kepada perkara yang lebih penting iaitu keluarga dan rumah tangga kerana kadang-kala ada perkara yang timbul di saat akhir yang perlu saya hadiri.

"Kerana itulah, saya selesa dengan Yayasan Jusco Malaysia kerana mereka faham dengan situasi dan keadaan saya. Lagipun aktiviti yang mereka jalankan juga tidaklah begitu berat dan menuntut masa yang panjang," kata anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini penuh diplomasi.

Dalam perkembangan lain, penghibur berusia 30 tahun ini juga sempat mengkhabarkan tentang pembikinan album kerohanian pertamanya yang bakal dipasarkan dalam bulan Ramadan ini.

Menggunakan judul Tahajud Cinta, album tersebut hanya menampilkan lapan buah lagu sahaja dan jelas Siti, sebagai percubaan pertama dia merasakan bilangan itu sudah mencukupi.

Mempertaruhkan tiga orang penerbit iaitu Eddie Marzuki, Audi Mok dan penerbit dari Indonesia, Tya Subiakto, ternyata Siti berdebar menantikan reaksi peminat terhadap album yang berteraskan muzik pop itu.

Sehingga kini, dia sudah merakamkan vokal untuk kesemua lagu dan tinggal hanya untuk proses mastering bagi memperkemaskan lagi susunan muziknya yang ditugaskan kepada Eddie.

Sambil menegaskan album Tahajud Cinta bukanlah sebuah album nasyid, sebaliknya, Siti mahukan album ini boleh dinikmati pada setiap masa.

"Merakamkan album ini cukup mencabar diri dan vokal saya kerana saya perlu menyanyi dengan penuh jiwa yang mendalam. Saya mahu peminat dan pendengar juga merasakan perasaan yang sama.

"Mujurlah dengan bantuan Salleh dari kumpulan Brothers, saya dapat melagukan dengan baik serta menyebut dengan betul terutama lirik-lirik berbahasa Arab," kata Siti yang juga baru selesai menjalani proses penggambaran kulit album untuk album berkenaan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Dengan penghasilan album berkenaan, Siti berharap agar tiada pihak yang menempelak kualiti album tersebut serta dilabelkan sebagai album tangkap muat.

"Ini kerana proses pemilihan lagu sudah lama dilakukan sejak saya terlibat dalam pementasan teater muzikal Sirah Junjungan.

"Begitu juga dengan lagu Ku Percaya Ada Cinta yang dicipta oleh Audi Mok yang sudah lama disimpan dan baru saya berpeluang untuk dimasukkan dalam album ini," kata anak kepada pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik ini lagi.

Dua buah lagu yang menjadi lagu tema filem Perempuan Berkalong Sorban iaitu Ketika Cinta dan Batasku Asaku turut dimuatkan dalam album ini.

Lima lagu lain ialah Tahajud Cinta ciptaan Erma Fatima, Asma Ul Husna, Selawat, Ya Rasulullah dan Pintu Raudah yang liriknya ditukar kepada bahasa Melayu oleh Hairul Anuar Harun.

Dalam pada itu, Siti turut disoal tentang perkembangan dan promosi album Lentera Timur yang dinobatkan sebagai Album Terbaik AIM 16 pada bulan Mei lalu.

Meskipun senario dunia rakaman suara tempatan suram dengan penjualan album yang lembap, namun Siti boleh berbangga dengan angka yang menghampiri 40,000 unit yang dicatatkan oleh album itu.

"Saya bersyukur kerana album berkenaan diterima dengan baik oleh peminat meskipun penerimaan di radio tidak serancak dulu. Saya faham dan terima dengan keadaan pasaran muzik sekarang yang sentiasa berubah-rubah.

"Apa pun, saya tetap akan terus menghasilkan album yang berkualiti untuk peminat saya kerana mereka mahukan yang terbaik," ujarnya yang juga akan muncul dengan program masakan, Citarasa Bersama Siti Nurhaliza tidak lama lagi.

Siti juga sempat mengkhabarkan berita tentang konsert Satu baru-baru ini yang akan diterbitkan dalam bentuk DVD khusus untuk memenuhi permintaan peminat-peminatnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.