|
PORT DICKSON 9 Ogos - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan 'jari-jari' kerajaan yang mampu merasai denyut nadi permasalahan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai 'jari-jari' kerajaan negeri, JKKK tidak boleh menjadi kaku atau tidak berfungsi dengan baik menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.
"JKKK merupakan nadi kerajaan dan berfungsi sebagai barisan hadapan yang mengetahui permasalahan dan kehendak rakyat di peringkat akar umbi sebelum disampaikan kepada kepimpinan negeri," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada 426 Pengerusi JKKK seluruh negeri di Tiara Beach Resort di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin.
Kata Mohamad, taklimat dua hari itu bertujuan menyampaikan maklumat tepat berhubung pelbagai isu semasa kepada Pengerusi JKKK supaya mereka menyampaikannya secara betul dan tepat kepada 'anak buah' di kampung masing-masing.
"JKKK di zaman moden ini perlu diberikan maklumat secukupnya serta dibekalkan dengan ilmu.
"Melalui pendedahan sebegini, kerajaan percaya JKKK akan mendapat pengetahuan secara asas berhubung peranan mereka serta tanggungjawab kepada masyarakat," jelasnya.
Sebab itulah kata Mohamad, JKKK ini harus bijak mentadbir di kampung supaya persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan yang mentadbir dapat dileraikan dengan tenang dan profesional.
"Terlalu banyak pandangan yang tidak betul. Banyak tanggapan dan pemikiran yang bercelaru di kalangan rakyat. Kita perlu dekati rakyat.
"Oleh itu JKKK terutamanya Ketua-Ketua Kampung yang menjadi pengerusinya, hendaklah turut bertemu 'anak buah' dengan menasihati mereka, mengadakan aktiviti dan mengunjungi surau, masjid dan rumah ibadat yang lain," katanya.
Sehubungan itu juga, beliau mahu semua JKKK menggerakkan pemuda di kampung masing-masing dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti mengawal keselamatan kampung.
"Daripada dimarahi pemuda yang duduk di tepi-tepi jalan dan berpeleseran, adalah lebih baik kita berikan mereka jaket, lampu suluh dan belantan.
"Minta mereka jaga kampung dan buat aktiviti yang menyeronokkan mereka," katanya.
Pada majlis taklimat itu, ia turut diadakan dengan dialog di antara Pengerusi JKKK bersama Mohamad dan kebanyakannya berkisar aspek kebajikan, peranan pemuda dan keperluan kewangan.
Pengerusi JKKK atau ketua-ketua kampung terbabit terbabit menerima tauliah pada 5 Jun lalu.
Sebelum dilantik, kerajaan negeri telah membuat semakan data peribadi setiap calon Pengerusi JKKK di Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.
IKLAN@UTUSAN
|