Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 09/08/2009
'Tengoklah berapa ratus juta pula Anwar mahu saman'

'Tengoklah berapa ratus juta pula Anwar mahu saman'

PERTH 8 Ogos - UMNO Johor akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran dalam waktu terdekat untuk melaungkan perkataan 'pengkhianat' ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ketua pembangkang itu mengambil tindakan saman 'beratus-ratus juta ringgit' terhadap peserta perhimpunan.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Adam Hamid berkata, pihaknya percaya puluhan ribu ahli UMNO negeri akan menyertai perhimpunan yang dirancang diadakan di Padang Merdeka Batu Pahat.

''Di situ nanti, puluhan ribu orang akan menjerit melaung-laungkan perkataan pengkhianat terhadap Anwar.

''Dan tengoklah dia nak saman berapa ratus juta pula," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Adam berada di sini kerana menyertai lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama lima hari ke Australia.

Beliau mengulas ketegasan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya ke atas Anwar walaupun pemimpin pembangkang itu bakal mengambil tindakan saman RM100 juta ke atasnya dan Utusan Malaysia.

Ia berikutan tindakan Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu menggelar Anwar sebagai pengkhianat perjuangan orang Melayu ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Ahad lalu.

Ketegasan Muhyiddin itu turut mendapat sokongan padu daripada badan bukan kerajaan Melayu.

Adam yang percaya tindakan saman oleh Anwar itu bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwatnya turut mempersoalkan keikhlasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bercakap mengenai kebebasan dan demokrasi.

''Dalam hal ini, saya yakin kalau pakatan pembangkang perintah, ia akan menjadi seperti PAP di Singapura.

''Di Singapura, PAP perintah, parti pembangkangnya tidak ada suara berbeza seperti yang BN (Barisan Nasional) amalkan di Malaysia," jelasnya.

Katanya, Anwar sebelum ini telah bertindak menyaman banyak pihak tetapi hakikatnya apa yang ditakuti beliau adalah kes liwat yang sedang dihadapinya.

''Justeru, UMNO mesti bangkit bukan sahaja untuk mempertahankan pemimpinnya tetapi maruah UMNO itu sendiri.

''Dan Anwar bukan seorang negarawan berikutan tindakannya membenarkan demonstrasi jalanan. Pada saya, tidak tergamak seseorang itu pergi berlindung di Kedutaan Turki semata-mata mahu menggambarkan keadaan di Malaysia tidak selamat. Kalau dia negarawan sejati, dia tidak akan berbuat demikian," katanya. - MinGguan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN