Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 01/08/2009
Niat perhimpunan haram kumpulan keras kepala

Niat perhimpunan haram kumpulan keras kepala

PENGANJUR perhimpunan menggesa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bermati-matian mahu meneruskan agenda mereka yang dijadual hari ini.

Kata Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), perhimpunan itu akan tetap berlangsung biar pun tidak mendapat permit polis. Mereka membayangkan 100,000 orang akan menyertai perhimpunan yang hakikatnya tidak diketahui apa rasional serta matlamatnya itu.

Persoalannya, sudahkah GMI atau mana-mana wakil pergerakan yang entah mendapat restu siapa itu mengemukakan permohonan kepada pihak polis supaya dibenarkan berhimpun?

Atau mereka sememangnya tidak pernah dan tidak akan membuat permohonan lantaran tahu perhimpunan yang dicanang di sana-sini itu sama sekali tidak akan dibenarkan kerana 'bacaan' pihak berkuasa akan tercetus kekacauan dan ketegangan jika ia diteruskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, tiada permohonan dikemukakan setakat ini. Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar juga mengesahkan begitu. Begitu juga dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Hishammuddin Tun Hussein.

Jadi mengapa ditimbulkan soal meneruskan perhimpunan dan perarakan besar-besaran itu walaupun tidak mendapat permit polis? Bagaimana mahu memperoleh permit jika tiada permohonan dikemukakan?

Persoalan paling penting yang mesti dijawab oleh kumpulan-kumpulan keras kepala ini, mengapa timbulnya idea untuk menganjurkan perhimpunan seperti ini? Mengapa budaya berdemonstrasi, berarak yang telah terbukti berakhir dengan keganasan dan kerosakan harta benda mesti diteruskan.

Mengapa juga kumpulan satu lagi yang tidak bersetuju ISA dimansuhkan mesti terikut-ikut dengan budaya songsang itu dan mahu turut berhimpun serta berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan suara hati mereka. Bukankah kumpulan ini telah berjaya diprovok oleh musuh mereka sehingga menyebabkan mereka terangsang untuk menuruti jalan yang salah.

Kita tidak pernah lupa dan tidak akan lupa kesan siri demonstrasi yang bermula akhir 1990-an dan menjadi trend sehingga kini. Siapa kata perhimpunan dan perarakan tidak akan berakhir dengan keganasan?

Manusia bodoh manakah yang sedia memberi jaminan itu, segala-galanya akan berjalan dengan aman. Sedangkan sangat diketahui umum dan telah terbukti ada sahaja unsur penentangan, provokasi dan keganasan sejak idea demonstrasi jalanan menyerap minda sebahagian rakyat negara ini.

Tidak ada satu pun demonstrasi berakhir dengan senyuman, gelak ketawa dan dada yang lapang. Pihak polis, FRU dicabar sehingga terpaksa bertindak dan akhirnya digelar zalim, 'anjing kerajaan' dan pelbagai lagi. Gas pemedih mata mahu tidak mahu terpaksa dilepaskan, selain semburan air untuk menyuraikan perhimpunan sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi.

Yang pasti kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku hari ini. Kesesakan lalu lintas lantaran tempat-tempat yang dipilih sememangnya menjadi tumpuan umum. Persekitaran Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara misalnya dikunjungi ramai pada hujung minggu termasuk pelancong. Kehadiran kumpulan keras kepala ini pasti menggugat suasana dan perniagaan di situ.

Kehadiran polis dan FRU di sana sini pasti memberi gambaran kurang enak tentang tahap keselamatan di negara ini. Apatah lagi jika isu yang cuba ditonjolkan - ISA - sebenarnya turut diguna pakai di negara-negara lain yang sering mereka laung namanya dan junjung prinsipnya.

Bukankah itu mengundang suasana pelik dan jelik kerana yang tersirat di sebalik penganjuran perhimpunan itu sebenarnya bukan kerana ISA. Puak-puak pelampau itu cuba memporak-porandakan negara.

Bagi mereka ISA tidak penting. Yang lebih penting usaha menjahanamkan Malaysia. Dalang di sebalik semua ini mempunyai agenda yang tidak pernah putus. Siri demonstrasi mesti diteruskan supaya negara dilihat huru-hara. Supaya kerajaan sedia ada dilihat kononnya tidak mampu mentadbir negara.

Percayalah selepas perhimpunan menentang ISA ini, akan ada lagi siri penentangan dan kekecohan yang ditimbulkan. Niat buruk serta agenda kotor mereka tidak akan padam.

Kita lihat undang-undang apa yang akan mereka gunakan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN