VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 29/07/2009

Apa pentingnya pendidikan muzik di sekolah?


KANAK-kanak yang didedahkan dengan muzik akan lebih kreatif dan mengapresiasi muzik apabila mereka dewasa kelak. - Gambar Hiasan.


RAMAI orang terutamanya dari negara dunia ketiga termasuklah di Malaysia menganggap muzik tidak penting. Muzik sering dikaitkan untuk tujuan berhibur semata-mata tetapi kalau boleh bikin duit, itu paling bagus.

Sebabnya, di negara kita tidak ramai yang telah menjadi kaya raya kerana muzik. Kalau ada pun, bilangannya boleh dibilang dengan jari.

Lebih baik jadi doktor, peguam atau apa juga pekerjaan yang lain. Sebagai budak pejabat sekali pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka ada gaji tetap setiap bulan.

Itu mentaliti kita tentang muzik. Kita hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit. Bidang muzik atau peranannya dianggap tidak penting seperti kerjaya-kerjaya lain.

Seolah-olah kita menidakkan kekuatan spiritual alunan tiupan saksofon pemuzik seperti Kenny G misalnya, berbanding terapi seorang doktor sakit jiwa terhadap pesakitnya.

Mentaliti itu timbul antara lain kerana kita terlalu memikirkan bagaimana mahu 'membuat duit' daripada muzik. Sedangkan kita malas berfikir bagaimana mahu menjadikan muzik lebih bernilai daripada duit.

Itu daripada segi tarikan luaran. Apabila bercakap daripada segi dalaman pula, bagaimana sumbangan muzik dalam mempengaruhi emosi, psikologi, ketrampilan diri dan pembentukan nilai intelek seseorang?

Ia agak terlalu jauh ke depan. Mungkin kita tidak terfikir sampai ke tahap itu lagi. Apa pun, ia boleh dimaafkan sesuai dengan taraf kita yang tinggal di negara membangun.

Bagaimanapun, dalam menuju ke arah negara maju pada tahun 2020, ramai juga di antara kita yang telah mulai sedar peri pentingnya muzik.

Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME) contohnya, mengalu-alukan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sejak sekian lama prihatin dalam menerapkan pendidikan muzik di peringkat sekolah rendah.

Matapelajaran muzik yang diserapkan menerusi ko-kurikulum sekolah memang suatu pendekatan yang seiring dengan keperluan negara dalam menuju ke arah negara maju. Bak kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebung.

Sayangnya, minggu lalu terdengar pula ura-ura KPM bercadang mahu mengurangkan masa 60 minit seminggu yang diperuntukkan dalam Pendidikan Muzik dalam kurikulum sekolah rendah.

Pengurangan waktu dalam matapelajaran muzik itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan hasrat kita dalam melahirkan 'celik muzik' di kalangan generasi pelapis pada masa depan.

Sebabnya, kuota masa untuk matapelajaran muzik sebelum ini boleh dianggap tidak penting dan hanya sisipan sahaja. Malah, jumlahnya antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Dalam isu ini, cadangan KPM yang mahu mengurangkan jumlah waktu pengajaran dalam matapelajaran muzik yang selama ini memang terlalu sedikit harus dipertimbangkan semula.

Kita sepatutnya mengambil contoh negara-negara maju seperti Jepun yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.

Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.

Sementara di Jerman pula, setiap murid dari peringkat tadika hingga ke gred 12 (tingkatan 2) pula diwajibkan mengikuti matapelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

Pendedahan dalam bidang muzik terutamanya daripada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak amat penting dan dipercayai banyak mempengaruhi emosi serta pemikiran kanak-kanak.

Tidak hairanlah ramai pakar psikologi Barat yang mendedahkan muzik pada peringkat dalam kandungan lagi dengan muzik-muzik tertentu seperti klasikal bagi membantu perkembangan otak janin.

Dunia pendidikan Islam juga tidak ketinggalan menerapkan alunan irama-irama tertentu dalam melahirkan insan yang membangun seiring dengan pengaruh spritual dan jasmani sejak bayi masih dalam kandungan.

Selain itu, pendidikan muzik pada peringkat kanak-kanak juga akan mendedahkan mereka dengan pelbagai genre dan perkembangan muzik yang amat luas cabang genre serta daya kreativitinya.

Muzik seharusnya dibincangkan secara lebih intelek bagi mengupas segala macam nilai pemikiran dan kreativiti dalam penghasilannya. Daripada situ ia juga boleh diadaptasi ke dalam pelbagai lagi bidang yang merangkumi kerjaya dan cabang-cabang kehidupan yang lain.

Kalaulah pendekatan ini dipandang serius, kita yakin generasi sekarang yang banyak didedahkan dengan muzik akan menjadi lebih progresif pada masa depan.

Pendidikan muzik sejak dari peringkat kanak-kanak secara tidak langsung akan mudah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja 'celik muzik' tetapi juga tahap apresiasi mereka yang lebih tinggi.

Para peminat kelak tentunya akan mempunyai citarasa dan pemilihan atas sesuatu karya muzik dengan memilih hanya yang benar-benar kreatif serta bermutu sahaja.

Tidak hairanlah industri muzik tanah air sekarang ini kelihatan statik kerana ia antara lain berpunca daripada tahap citarasa, pendedahan dan pengetahuan kita yang amat cetek dalam bidang muzik.

Pada masa sama, masalah cetak rompak atau hak-hak serta undang-undang yang berkaitan harta intelek juga mungkin dapat ditangani dengan lebih mudah pada masa depan.

Ini kerana apalah gunanya negara mencapai status negara maju sedangkan tahap pemikiran, pengetahuan dan apresiasi kita termasuklah terhadap muzik masih lagi berada ditakuk seperti negara dunia ketiga?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.