VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Ogos 2014 / 5 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 29/07/2009

ISA, 13 Mei 1969 dan notebook Beng Hock

Dah mula main api lagi...SEORANG sahabat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) itu memperingatkan mengenai kebimbangan yang amat ditakutinya mengenai cubaan pihak-pihak tertentu yang mahu membangkitkan api kemarahan terhadap kerajaan.

Usaha itu dilakukan mutakhir ini. Di saat kewibawaan DAP tercalar teruk ekoran ‘‘apa ada dalam notebook Beng Hock’’ – rahsia besar yang hanya tunggu masa akan dilondehkan sedikit demi sedikit, pakatan pembangkang sedang merangka strategi-strategi baru.

Mereka mahu mengalihkan perhatian rakyat secepat mungkin daripada perkembangan yang amat ‘menganggu’ mereka itu kepada isu mengenai penghapusan ISA. Mereka mahu membina momentum – bermain dengan sentimen rakyat – terutama orang Melayu supaya menyokong usaha tersebut.

Momentum itu adalah untuk ‘menghalalkan cara’ jika perarakan besar-besaran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dari Bangunan Parlimen ke Istana Negara pada 1 Ogos ini (Sabtu ini) mendapat tentangan daripada pihak berkuasa.

Rata-rata orang Melayu (daripada golongan atas pagar atau senyap) sebenarnya menyokong ISA. Mereka faham dan sedar ISA baik untuk mereka dan negara. Mereka sedar rakyat Malaysia memerlukan ISA demi keamanan dan kesejahteraan negara.

Tertanya-tanya kita mengapa golongan itu, DAP, PKR dan Pas beria-ia sangat mahu menghapuskan ISA. Semua orang tahu selama ini ia digunakan untuk menjaga keamanan negara.

Negara perkasa Amerika Syarikat pun mempunyai undang-undang ala-ISA iaitu Akta Patriot (http://en.wikipedia.org/wiki/usa_patriot_act). Tahanan yang disyaki sebagai penganas – yang rata-rata beragama Islam ditahan tanpa bicara di Kem Guantanamo. DAP tidak pernah bising pun? Pas pun sepanjang ingatan kita jarang komen panjang lebar mengenainya? Malah, jiran Singapura pun masih ada dan masih mengamalkan ISA. Rakyat Singapura tidak pernah pun berarak dari bangunan Parlimennya ke Istana Presiden?

Satu surat yang dihantar oleh seorang peguam (suratnya akan disiarkan oleh Utusan Malaysia mulai esok) berkata: ‘‘Amat mengejutkan apabila kajian rambang yang dilakukan oleh Biro Undang-undang Tindakan Siswa Bersatu UKM (TSB) pada tahun 2001 ke atas 100 orang mahasiswa UKM yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menunjukkan bahawa kesemua 100% daripada mereka tidak pernah melihat, memegang dan menyelak sehelai demi sehelai Akta 82 tersebut yang keseluruhannya mengandungi 85 seksyen, 4 bahagian, 12 bab dan 3 jadual.’’

Malam kelmarin, satu ceramah diadakan di Kampung Datuk Keramat, kampung yang dihuni rata-ratanya oleh orang Melayu. DAP dan konco-konconya bermain dengan api.

Ceramah terbuka itu amat berbahaya. Mereka mengadu-dombakan mengenai isu penghapusan ISA ini. SMS yang dihantar oleh seorang rakan itu berbunyi lagi: ‘‘Ramai penduduk di sekitar kawasan yang tidak dapat lari daripada mendengar apa yang diucapkan... yang kesemuanya berbentuk tohmahan, hasutan dan kecaman terhadap orang Melayu sama ada secara terus atau tidak, jelas hanya menjemput masalah.

‘‘DAP dan PKR patut ingat hak orang Melayu yang menduduki sekitar kawasan tersebut. Bukan semuanya terdiri daripada penyokong mereka. Mereka berasa tersinggung kerana yang diperlekeh adalah bangsa Melayu, pemimpin Melayu dan kerajaan pimpinan Melayu.’’

Kita berharap pihak berkuasa dapat bertegas ekoran perkembangan itu. Kami rakyat Malaysia mengharapkan perlindungan pihak polis. Dalam suasana yang tidak menentu sekarang – di mana orang mula bercakap mengenai kekuatan dan superiority bangsa dan kaum masing-masing, ISA amat penting. Kerajaan dan polis harus terus menggunakan akta itu.

Pedulikan apa orang kata, ini negara kita.

Semasa menulis artikel ini, di tepi meja saya terletak sebuah buku yang saya cari dari rak buku-buku saya bertajuk May 13 Before & After (13 Mei Sebelum & Selepas) tulisan Tunku Abdul Rahman.

Saya sudah membaca buku ini lama dulu semasa saya masih bersekolah – tapi semalam saya buka semula sehelai demi sehelai – di satu halaman Tunku menulis: ‘‘Saya mahu menceritakan satu kisah dengan penuh minat, satu kejadian yang berlaku awal tengah hari 13 Mei di Jalan Ipoh, jalan utama menghala ke Utara... seorang saksi melaporkan kepada saya sebuah bas yang datang dari Utara, dari Selayang... ditahan oleh sekumpulan pemuda Cina, mencari orang Melayu dan dalam masa yang sama melaung Darah Bayar Darah!...’’

Melihat pula gambar-gambarnya, tertera satu gambar mengenai sekumpulan orang sedang memegang penyapu – yang keterangan gambarnya dalam buku itu tertulis: Penyapu bagi menyapu keluar orang Melayu.

Membaca buku itu cukup menyedar dan menginsaf kita semua. Cukup jelas, dalam suasana sekarang – cybertroopers yang terang-terang tanpa rasa bersalah membangkitkan soal rasis, perkauman dan kaum masing-masing – ISA amat-amat diperlukan.

Buku Tunku berusia 40 tahun itu harus dijadikan teks sekolah masa kini. Rakyat Malaysia sudah lupa kisah 13 Mei 1969.

Apa ada dalam notebook Beng Hock...

PROSIDING inkues kematian Teoh Beng Hock bermula hari ini. Prosiding yang didesak diadakan oleh pihak pembangkang (yang kemudiannya menukar fikiran selepas kerajaan menubuhkannya) sudah pasti akan mendapat perhatian umum.

Namun dalam masa yang sama, siasatan oleh pihak polis dan SPRM terus dijalankan. Kita masih lagi tertanya-tanya apa lagi ada dalam komputer riba Beng Hock itu.

Mungkinkah apa yang disiarkan oleh sebuah laman blog hantu http://t4tbh.blogspot.com adalah sebahagian daripada isi kandungan ‘rahsia besar’ yang cuba disembunyikan itu?

Jika benar, kita pasti ‘rahsia besar’ itu akan diperhalusi sedikit demi sedikit.

Kita mendengar pihak-pihak yang terbabit sudah gabra mengenai hasil yang diperoleh itu.

Membaca blog dalam Internet, satu komen yang dihantar amat menarik dan boleh diperhalusi oleh para penyiasat.

Komen itu bertanya: Penyata-penyata kontrak dan invois yang diedarkan melalui blog hantu itu adakah ia dibuat melalui cek? Kelazimannya urus niaga itu akan dibuat melalui cek. Jika, ya, maka kerja para penyiasat akan lebih mudah.

Urusan transaksi melalui bank adalah telus. Walaupun ada pihak yang menuduh semua itu adalah palsu, tapi transaksi bank tidak boleh tipu.

Kita tunggu lagi perkembangan seterusnya...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:25
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.