Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 28/07/2009
Tiada favouritism dalam AESB

Tiada favouritism dalam AESB

DITUBUHKAN pada 2007 dengan matlamat untuk membangun dan menyediakan pakej kandungan dan saluran tempatan berbahasa Melayu, nama Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) bukanlah asing bagi industri penyiaran negara.

Melaksanakan penyampaian isi kandungan di 10 buah saluran Astro antaranya Astro Ria, Prima, Oasis dan Ceria, AESB sejak ditubuhkan terus melabur dalam 'menghidangkan' sesuatu yang berkualiti untuk penonton.

Hasilnya, sejak kebelakangan ini, peningkatan ketara berlaku terutama jumlah peratusan pelanggan bagi segmen Melayu yang membuktikan bahawa saluran di bawah naungan AESB sudah mampu menarik perhatian khalayak.

Paling berjaya, Akademi Fantasia (AF) yang sudah pun melewati musim ketujuh dan memberikan kesan luar biasa kepada jumlah tontonan khalayak dengan rating tertinggi.

Selain program bercorak hiburan semata, AESB juga menyediakan drama-drama berkualiti mengikut rangkaian saluran dalam usaha menarik lebih banyak penonton.

Namun, dalam keghairahan menyiarkan drama-drama tempatan itu, AESB tidak terlepas daripada didakwa bersikap favouritism dengan memilih produksi tertentu untuk mendapat kontrak penyiaran drama di saluran-saluran AESB.

Hal berkenaan sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan produksi lain yang seakan terpinggir untuk mendapat tempat di dalam AESB.

Menjawab mengenai dakwaan itu, Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah menafikan bahawa AESB yang diterajuinya bersikap sedemikian.

Katanya, AESB sememangnya membuka ruang serta peluang yang luas kepada mana-mana syarikat produksi dalam mengembangkan karya kreatif mereka di saluran-saluran milik AESB.

"Dalam hal itu, AESB bukan hanya memberi ruang kepada syarikat-syarikat produksi yang telah punyai rekod baik dengan Astro tetapi turut bekerjasama dengan produksi baru.

"Mengambil hasil karya penggiat produksi baru sememangnya punyai risiko yang tinggi tetapi ia menunjukkan keberanian Astro.

"Jika rekod bersama Astro adalah stabil dan mendapat reaksi positif di kalangan penonton, sudah tentu peluang kerja dengan Astro akan bertambah,'' katanya ketika ditemui Hits di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Ujar Zainir, dengan perancangan untuk memperkuatkan program-program utama, AESB menyusun strategi dalam mengukuhkan nama sebagai penyiar genre drama yang berkualiti.

"Banyak program perlu nafas baru untuk bagi memastikan sesebuah saluran itu kuat. Untuk drama, penonton sudah sedar bahawa AESB menyediakan drama-drama terbaik.

"Untuk itu, khalayak produksi sudah tentunya faham kehendak kualiti yang diperlukan oleh AESB,'' tegasnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan AESB, Zainir menjelaskan bahawa AESB akan melancarkan konsep-konsep baru di samping menguatkan saluran-saluran seperti Oasis dan Awani.

AESB, katanya, akan berusaha dalam membawa jenama saluran baru iaitu Citra dan Warna ke peringkat lebih tinggi.

Penganjuran NCA 2009

Sementara itu, Zainir yang diajukan persoalan mengenai penganjuran NextGen Contentpreneur Awards 2009 (NCA 2009) berkata, ia bermatlamat untuk mengembangkan bakat-bakat muda dalam bidang kandungan kreatif.

Menerima lebih 400 penyertaan daripada pelajar-pelajar tempatan yang kini menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), NCA 2009 katanya, menunjukkan trend positif terhadap pilihan kategori yang disertai mereka.

Jelas Zainir, trend positif itu dapat dilihat dengan peningkatan peratusan mereka yang menghantar kandungan berbentuk serius iaitu bagi kategori dokumentari.

Daripada 5.8 peratus yang menyertai kategori itu di NCA 2008, jumlah berkenaan meningkat kepada 14 peratus bagi NCA tahun ini.

Peningkatan tersebut sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa wujudnya minat di kalangan pelajar untuk menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan sesebuah dokumentari.

Selain dokumentari, kategori video muzik turut mencatatkan peningkatan penyertaan berbanding kandungan singkat, animasi serta reka bentuk web yang menyaksikan sedikit penurunan.

NCA 2009 yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MSC Malaysia serta disokong oleh Astro bakal diadakan pada 6 Ogos ini.

Sejumlah 11 anugerah akan disampaikan daripada lima kategori yang dipertandingkan.

Kata Zainir, dengan penyertaan yang kini masih lagi dalam proses penilaian, pihaknya mengharapkan agar kualiti isi kandungan yang diterima akan meningkat berbanding tahun lalu.

Jelasnya, penilaian dilakukan oleh lima juri berpengalaman iaitu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez; Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Megat Al Imran Yasin dan Pengarah Kreatif Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Muhammad Usamah Zaid Yasin.

Dua lagi juri adalah pengarah filem, drama, animasi dan komposer, Azizi Adnan serta bekas penerbit hiburan TV3, Nik Ramzi Nik Hassan.

Zainir berkata, bagi meningkat tahap persaingan, NCA berkemungkinan bakal dibuka kepada pelajar-pelajar antarabangsa baik negara di rantau Asia Tenggara atau negara-negara lain.

"Namun, sebelum dibuka kepada pelajar luar, kita akan perkukuhkan jenama NCA di dalam negara terlebih dahulu.

"Jika dibuka kepada penyertaan luar, ia juga mampu memberi manfaat kepada pelajar tempatan untuk melihat sejauh mana pemikiran kreatif pelajar-pelajar lain,'' jelasnya sambil menambah NCA akan dijadikan acara tahunan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN