Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 16/07/2009
Manek Urai: Petunjuk rakyat mahu perpaduan

Manek Urai: Petunjuk rakyat mahu perpaduan

KUALA LUMPUR 15 Julai - Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan, memberi petunjuk jelas kepada UMNO dan Pas bahawa rakyat mahukan perpaduan membabitkan dua parti utama orang Melayu itu, walaupun mempunyai falsafah politik berbeza.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, faktor itu telah menyebabkan sokongan pengundi Manek Urai kepada Barisan Nasional (BN) bertambah selain rakyat mula menerima perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat keputusan ini adalah sebagai amaran awal kepada UMNO dan Pas supaya mengetepikan perbezaan falsafah dan ideologi politik, apabila ia berkait dengan kepentingan Islam dan Melayu.

"Pengundi Manek Urai mahukan pembangunan, tetapi isu perpaduan juga menjadi matlamat utama mereka dan orang Melayu keseluruhannya," katanya.

DUN Manek Urai kekal di bawah Pas selepas calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah, 50, menang tipis dengan majoriti 65 undi mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, yang memperoleh 5,283 undi.

Majoriti Pas itu merosot sebanyak 1,287 berbanding majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini, Allahyarham Ismail Yaacob.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan sokongan di kalangan pengundi Melayu Manek Urai juga menunjukkan UMNO masih relevan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan BN dan UMNO perlu melipatgandakan lagi usaha, bagi menjayakan semua pembaharuan yang ingin dilaksanakan Perdana Menteri, supaya momentum sokongan rakyat kepada BN dapat dikekalkan sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ditanya sama ada Kerajaan Pusat wajar meneruskan pembangunan yang dijanjikan, walaupun gagal mendapat mandat rakyat, seperti yang dilakukan menerusi pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum ini, Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan sentiasa komited terhadap kesejahteraan seluruh rakyat.

Katanya, dalam kes Manek Urai, Kerajaan Pusat harus bersikap seperti 'ada ubi ada batas, ada budi kita balas'.

"Sebagai sebuah kerajaan yang rasional saya fikir kita akan menunaikan janji jika diberi mandat tetapi dalam kes ini (Manek Urai) ia tidak bermakna kerajaan mengabaikan rakyat Kelantan.

"Kerajaan Pusat telah membelanjakan RM7.8 bilion untuk pembangunan rakyat Kelantan dan jika mereka mahu pembangunan yang lebih, maka mandat itu perlu diserahkan kepada BN," jelasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN