Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 14/07/2009
5 warga USM ditemui selepas 22 jam hilang

5 warga USM ditemui selepas 22 jam hilang

PULAU PINANG 13 Julai - Sekumpulan lima penyelidik dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang dilaporkan hilang semasa mendaki di Taman Negara, Teluk Bahang di sini, ditemui dalam keadaan selamat.

Kelima-lima mereka termasuk dua wanita yang berusia 28 tahun ditemui kira-kira pukul 10 pagi semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas 22 jam dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang, Ishak Abu Bakar berkata, operasi menjejak tiga penyelidik dan dua pelajar itu dimulakan kira-kira pukul 7.30 pagi.

Katanya, operasi disertai anggota dari Balai Polis Teluk Bahang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, renjer Taman Negara dan penduduk kampung yang mahir dengan kawasan tersebut.

"Kesemua penyelidik dan pelajar itu memasuki Taman Negara kira-kira pukul 12 tengah hari semalam dan memulakan perjalanan ke Teluk Duyong sebelum ke Pantai Kerachut.

"Mereka tidak tersesat tetapi cuma bermalam di dalam hutan kerana hujan lebat dan menyukarkan untuk perjalanan pulang," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua mereka terlupa untuk memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga masing-masing menyebabkan laporan polis dibuat.

Menurut beliau, ketika ditemui, kumpulan tersebut dalam keadaan keletihan kerana kesejukan.

"Operasi mencari dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu melalui darat dengan menyusuri trek dan bot," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Mohd. Zain berkata, beberapa ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada pukul 3 pagi ini.

"Beberapa renjer telah memulakan operasi mencari namun gagal disebabkan hujan lebat menyebabkan operasi terpaksa dihentikan," katanya.

Difahamkan, kelima-lima mangsa tidak menyusuri trek disediakan kerana sudah biasa dengan hutan terbabit dan telah beberapa kali berkunjung ke situ bagi tujuan menjalankan satu kajian di peringkat sarjana.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN