|
KUALA KRAI 12 Julai - Penduduk Manek Urai gembira dengan keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) membina jambatan baru bagi menghubungkan dua kampung utama di situ sekiranya parti itu menang dalam pilihan raya kecil Selasa ini.
Bagi mereka, jambatan kecil sedia ada tidak lagi mampu menampung pertambahan kenderaan dan menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang berulang-alik antara dua perkampungan - Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.
Jambatan lama selorong sepanjang kira-kira 200 meter yang dibina pada akhir 80-an itu merupakan satu-satunya jalan penghubung antara Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.
Seorang penduduk, Mohd. Fauzi Jusoh, 52, berharap pengumuman kerajaan Pusat itu akan menjadi kenyataan kelak.
"Kami amat bersetuju dan berterima kasih jika ia dapat dilaksanakan kerana masalah sering timbul terutamanya pada masa puncak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jambatan baru yang bernilai lebih RM7 juta akan dibina sejurus parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada Selasa ini.
"BN berjanji hari ini dengan disaksikan oleh semua bahawa menang sahaja BN, kita akan terus memulakan kerja-kerja pembinaan, ini janji BN dan akan dikotakan," katanya.
Muhyiddin juga memaklumkan bahawa kerajaan akan menjadikan Manek Urai sebuah kota agropolitan yang akan melonjakkan sektor pertanian di kawasan itu.
Seorang lagi penduduk kampung, Che Aziz Che Wil, 47, berkata, pembinaan jambatan baru dan kota agropolitan itu akan membantu meningkatkan pendapatan penduduk kampung.
Katanya, sudah terlalu lama penduduk menderita tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan Pas yang memerintah Kelantan sekarang.
"Pembinaan jambatan ini amat tepat pada masanya. Jambatan lama ini terlalu sempit malah kadang-kadang pernah terjadi pergaduhan kerana masing-masing enggan mengalah," katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Nik Kalsom Awang, 52, berkata, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung adalah tahap keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang terpaksa melalui jambatan itu untuk ke sekolah.
Katanya, lorong jambatan itu sempit iaitu hanya memuatkan sebuah kereta dan sedikit ruang yang biasanya digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal.
"Jambatan ini amat sesak pada waktu puncak iaitu waktu persekolahan serta musim perayaan kerana biasanya ramai penduduk akan pulang ke kampung," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|