VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 29/06/2009

Rima terpinggir kerana gemuk


KELUARGA BAHAGIA... Rima Rashidi (kanan) di samping suami, Adnan Noah dan dua anak mereka, Adrrel Rashdy Noah (dalam dukungan Adnan) dan Adrenna Rose Noah.


HANYA kerana badannya yang gempal, Rima Rashidi terpaksa terus melupakan bidang nyanyian yang menjadi minatnya setelah menamatkan pengajian tingkatan lima di Sekolah St. Mary, Kuala Lumpur.

Meskipun penolakan itu sesuatu yang sangat pahit untuk diterima, tetapi sebagai manusia yang percaya kepada ketentuan Allah, Rima terpaksa akur dengan kata putus pengurusan sebuah syarikat rakaman yang memilih untuk menamatkan kontraknya hanya kerana saiz tubuhnya itu.

Lebih mengguris perasaannya ialah, pengurusan syarikat rakaman itu mendakwa, albumnya sukar untuk dipasarkan hanya kerana saiz tubuhnya yang kononnya tidak dapat diterima ramai.

"Saya tiada pilihan selain harus akur menerima keputusan itu. Walaupun saya kecewa tetapi saya hairan kenapa masyarakat kita begitu skeptikal terhadap orang gemuk seperti saya," luah penyanyi yang pernah menempa kemasyhuran menerusi lagu Kasih Berbunga Lalang sekitar awal tahun 1990-an.

Menurut Rima, apa yang turut dikesalkannya ialah apakah golongan yang mempunyai tubuh yang gempal hanya layak untuk dijadikan bahan ketawa.

"Kebanyakan artis berbadan besar atau gemuk sering menjadi bahan ketawa sama ada dalam filem atau drama. Saya tidak mahu menjadi badut!" katanya lagi dalam nada sedih pada satu pertemuan dengannya di sebuah hotel di pinggir kota baru-baru ini.

Biarpun ditolak secara membabi buta namun kehidupan Rima, 37, kini sangat bahagia di samping suami tercinta Adnan Noah, 49, dan dua anak kesayangan mereka Adrenna Rose Noah,7, dan Adrrel Rashdy Noah, 11 bulan.

Disebabkan itulah, Rima yang pernah muncul dengan dua album bersama syarikat rakaman Sony Music dengan album pertama Engkau Yang Pertama dan lagu hitsnya, Kasih Berbunga Lalang terus melupakan bidang nyanyian.

"Kalau syarikat besar tidak yakin untuk menjual album saya, mana mungkin saya memasarkan album sendiri.

"Sejak itulah, saya mula beralih bidang. Daripada seorang penyanyi saya beralih ke bidang lakonan, walaupun sebelum itu saya berlakon tetapi selepas itu saya menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang lakonan," cerita Rima lagi.

Daripada filem ke drama, Rima yang memang berbakat dalam bidang lakonan menjadi pilihan penerbit dan pengarah.

Mr. Os, Musuh Dalam Selimut, Tuah, Bila Senja Berlalu, Di Sebalik Bayang, Lela Manja dan Roda-Roda Kotaraya merupakan antara filem dan drama lakonan Rima.

Bagaimanapun, setelah drama bersiri Roda-Roda Kotaraya ditamatkan dan digantikan dengan Gerak Khas, Rima Rashidi memilih untuk mengundurkan diri daripada bidang seni!

Apa lagi selepas dia bertemu jodoh dengan Adnan pada tahun 2000 setelah berkenalan selama lapan tahun.

Perkahwinan berdasarkan cinta itu kini membuatkan Rima merasakan hidupnya bagaikan seorang permaisuri yang dilayan dengan sempurna dan dimanjakan oleh suami tercinta yang juga seorang Penasihat Kontraktor.

"Selepas kahwin saya malas untuk aktif lagi apatah lagi suami memenuhi setiap keinginan saya, jadi untuk apa saya menyanyi atau berlakon?

"Saya tidak minta bulan atau bintang daripada suami saya tetapi saya amat bersyukur kerana dapat hidup selesa dan bahagia.

Bagaimanapun, menurut Rima, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, dia dan suaminya mencuba nasib dalam bidang penerbitan tetapi sayangnya apa yang diusahakan kini musnah.

Kalau namanya orang seni, pastinya sukar untuk mereka mengikis minat dan kecenderungan dalam lapangan itu biarpun sudah lama tidak aktif.

Demikian juga dengan Rima. Dia dan suaminya mengambil inisiatif menerbitkan sebuah dokumentari untuk sebuah stesen TV.

Sayang sekali, harapan yang bermula dengan kemanisan bertukar menjadi pahit apabila program yang dirancang mereka ditolak bulat-bulat oleh pengurusan baru stesen TV selepas kelulusan dibuat oleh bekas pengurusan lama stesen itu.

"Bayangkan kami sudah mengeluarkan modal ratusan ribu ringgit setelah mendapat surat hitam putih daripada stesen TV itu tetapi alasan yang diberikan dulu lain, pemimpinnya sekarang lain. Sedih benar saya dengan keadaan itu," keluh Rima.

Program yang diberi judul Menceceh P. Ramlee itu merupakan sebuah rancangan hiburan yang memaparkan kisah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan lagu-lagunya.

Rancangan sebanyak 26 episod terbitan Lumayan Digital Sdn. Bhd., itu dihoskan oleh Zainal Alam Kadir.

Setelah dikecewakan oleh stesen TV itu, Rima dan suami tidak pernah putus asa.

Cuba mengubah persepsi masyarakat terhadap orang-orang gemuk, tahun lalu Rima mengemukakan sebuah kertas kerja (proposal) kepada stesen TV yang sama.

"Sayangnya proposal itu ditolak mentah-mentah oleh panel stesen TV itu dengan alasan tidak ada orang yang mahu tengok rancangan seperti itu," Rima terus berkongsi kesedihan yang harus diterimanya.

Rancangan berteraskan talkshow yang diberi nama Big But Beautiful itu dicetuskan daripada naluri Rima sebagai artis yang dipinggirkan kerana gemuk.

Big But Beautiful yang diharapkan dapat menggabungkan Rima, Adibah Noor dan Liza Aziz pada dasarnya dirancang dengan harapan dapat mengubah pandangan skeptikal masyarakat terhadap orang-orang gemuk.

"Orang gemuk pun ada keistimewaan sendiri. Cuba beri kami peluang, Insya-Allah pandangan masyarakat akan berubah.

"Tapi nak buat macam mana dah begitu sikap mereka. Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan Adibah yang dulu bagai kini namanya sentiasa bermain di bibir peminat," ujar Rima lagi.

Kini kata Rima, dia lebih tenang menjalani hidup sebagai isteri dan ibu di samping memenuhi masa lapangnya dengan mempelajari seni mempertahankan diri aikido khas untuk wanita.

"Saya berharap suatu hari nanti, stesen TV kerajaan atau swasta atau berbayar dapat memberi ruang kepada orang-orang gemuk seperti saya," kata Rima sambil tersenyum sinis.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.